Itu saya

Itu saya
Aku sayang negaraku. Tanah air ku. Agamaku. Bangsaku & keluargaku.

Mari faham isi AL-QURAN..

Mari sama-sama kita dengar tafsir AL-QURAN semoga hati kita lembut dan dapat hidaya

CLICK |> FOR THE NEXT SURAH.

Friday, November 20, 2009

Terjemahan kepada Khutbah jumaat 13 Nov yang lalu



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“MENJAGA ADAB KETIKA PERSELISIHAN PENDAPAT”
(13 NOVEMBER 2008 / 25 ZULKAEDAH 1430H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah “MENJAGA ADAB KETIKA PERSELISIHAN PENDAPAT”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Islam adalah agama yang syumul dan lengkap. Jika manusia dapat mengikuti agama itu dengan khusyuk dan tertib, ia akan membawa kepada kecemerlangan. Tetapi sejak kebelakangan ini kita dilanda wabak yang merbahaya iaitu perselisihan pendapat atau ikhtilaf terbuka di antara ulamak dengan ulamak, orang awam dengan ulamak atau orang politik dengan ulamak mengenai isu agama Islam. Apa yang lebih memeranjatkan kita lagi ialah peningkatan orang bukan Islam dan orang yang jahil agama tanpa segan silu mengeluarkan pendapat terbuka tentang Islam.


Berdasarkan pemerhatian mimbar, ikhtilaf di kalangan pihak-pihak tersebut telah menimbulkan suasana kelam-kabut dalam masyarakat Islam sekaligus menjejaskan nama baik agama Islam serta penganutnya. Mimbar ingin mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, jangan memperbesar-besarkan isu khilafiah, isu remeh-temeh seperti tahlil, maulidurasul, talqin dan sebagainya. Isu ini adalah isu lama dan ulamak yang bijak lagi waras tidak memperbesar-besarkannya.
Sabda Rasulullah SAW daripada ‘Iyadh bin Himar:

Mafhumnya:
“ Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang
lain”.
(Riwayat Muslim)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Merujuk kepada sejarah Islam, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hanbali serta aliran mazhab yang lain mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Anak-anak murid dan pengikut-pengikut mereka semakin bertambah dari hari ke hari. Tetapi mereka telah menunjukkan sikap mulia seperti saling hormat menghormati atas semangat setiakawan yang tinggi.

Apa yang jelas, Islam telah meletakkan adab-adab yang tinggi ke atas setiap muslim dalam proses pergaulan sesama muslim termasuklah ketika berselisih faham mengenai isu yang kurang jelas. Namun begitu kita ditegah menghina ulamak tertentu walaupun berbeza pandangan atau pendekatan. Ulamak dahulu adalah umat yang terbaik dan mendapat pengiktirafan dari masyarakat ketika itu.

Apa yang menyedihkan sekarang ialah perselisihan pendapat yang membawa krisis ulamak merugikan negara dan ummah. Keadaan ini diburukkan lagi apabila ada pihak yang anti-ulamak menulis atau membuat kenyataan secara sedar, jelas dan berterusan dengan niat dan tindakan untuk menghina Islam.

Mimbar kesal dengan adanya percubaan pihak-pihak tertentu kononnya atas dasar kebebasan bersuara, berfikir dan mengeluarkan pendapat, maka sewenang- wenangnya mahu menjadikan Islam dan segala hukum syariat Islam sebagai suatu perdebatan yang bebas mengikut sesuka hati sesiapa sahaja dan mengenepikan asas-asas kaedah dan disiplin ilmu yang betul dalam Islam.
Kedangkalan ilmu sesetengah pihak bukan sahaja merosakkan imej dan kesucian agama Islam, malah akan menimbulkan kekeliruan yang merbahaya di kalangan masyarakat awam khususnya masyarakat Islam di negara ini. Mimbar berpendirian jika agama Islam dibiarkan didebat secara bebas, angkuh dan sombong bongkak seperti yang ditulis atau dilaungkan oleh pihak tertentu tanpa mengikut disiplin ilmu Islam yang betul, maka kewibawaan seluruh institusi Islam di negara ini akan terdedah kepada cercaan dan penghinaan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Mimbar mendapati budaya pihak tertentu yang terus menyerang ulamak dalam hasil tulisan mereka secara menghina dan biadap adalah suatu perkara yang tidak dapat diterima. Persoalannya kenapa golongan ulamak menjadi sasaran serangan yang berterusan oleh pihak-pihak ini.?

Ulamak yang beramal dengan Islam sebenar tidak pernah mendakwa diri mereka sebagai manusia sempurna. Namun jika sekalipun pendapat ulamak mahu dikritik, kenapa perlu mereka dihina dan dicerca dengan mempermainmainkan dan memerendah-rendahkan peribadi mereka dengan kata-kata menghina. Menyedari hakikat ini, umat Islam yang terlibat dengan perselisihan
pendapat itu perlu menjaga adab-adab berikut:

Pertama: Bersifat lapang dada menerima kritikan yang membina. Sikap sedemikian dapat menghindarkan kita daripada bersifat sombong dan bangga diri atas kelebihan diri yang ada.

Kedua: Memilih perkataan yang terbaik dalam sesi perbincangan.

Ketiga: Menjaga tingkahlaku dan tuturkata dengan lebih bersopan. Hindarkan daripada caci maki dan nafsu jahat sehingga tergelincir daripada kebenaran. Insaflah, ikhtilaf boleh disalah tafsir atau dimanipulasikan oleh suatu perancangan berniat jahat dan seolah-olah ada suatu usaha tersusun dari pihak-pihak tertentu untuk menyerang Islam dan institusi ulamak di negara ini.

Sebagai langkah pengawalan, marilah kita memelihara perkara-perkara berikut:
Pertama, walaupun Islam membenarkan ikhtilaf tetapi wajib kita menjauhinya sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar.

Kedua, perkara yang boleh diijtihad itu perlu mematuhi beberapa syarat bagi memastikan keaslian perbincangan tersebut.

Ketiga, mengikuti akhlak para salafusoleh dalam pergaulan sesama mereka
ketika terjadi ikhtilaf.

Keempat, dilarang menuduh atau memfitnah sesama Islam kecuali disertai
ilmu dan keadilan.

Kelima, tidak mencampur adukkan antara masalah ijtihadiyah dengan masalah
iftiraq (perpecahan).

Maksudnya: “Oleh sebab itu jika mereka berhujah membantahmu maka katakanlah: Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang yang mengikutku. Dan bertanyalah kepada orang yang diberi Kitab, dan orang yang buta huruf: Sudahkah kamu mematuhi dan menurut agama Islam yang aku bawa itu)? Jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah medapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.” (Ali Imran: 20)

-----HHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH-----

Begitulah serba sedikit khutbah jumaat yang saya petik dari JAKIM.. anda boleh layari di http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/ dan boleh mendapatkannya untuk rujukan bersama.

Kenapa saya memilih khutbah ini?

Saya lihat di Malaysia ini, sudah ada kepincangan terhadap adab dan sopan masyarakat kita terutamanya orang Melayu beragama Islam yang suka menaip (bukan menulis) di blog-blog mereka menggunakan bahasa kurang sopan dan menggelar orang lain dengan bahasa yang kurang sopan. Penggunaan perkataan "Babi, Celaka, #%&*!>, Sial, bodoh " sudah menjadi bahasa biasa di kalangan mereka. Kalau dia adik saya, atau anak saya.. saya dah cabai mulut dia. Saya cukup pantang orang cakap macam tu. Suami saya sendiri saya tegur biarpun perkataannya tidaklah seteruk seperti yang saya senaraikan kat atas tu..

Saya juga terkilan, bila ada pula orang bukan Islam cuba-cuba menggunakan ayat-ayat Allah dalam politiknya. Mau saya baling dengan telur busuk sebusuk hatinya menjadikan agama sebagai mainan politik.

Ramai yang tidak sedar bahawa hatinya sudah banyak terpesong dari agama bila bercakap berkisar politik. Sebab itu saya memilih untuk jadi seorang patriotik bukan bersifat politik. Kerana politik itu kebanyakkannya kotor.. dan saya tidak segan untuk menegur sesiapa sahaja yang tidak bersifat patriotik.

HUh... terlebih-lebih pulak.. hehehehe...

Thursday, November 19, 2009

Emosi Wanita


Pernahkah anda menghadapi tekanan emosi? Satu tekanan yang menyebabkan anda bingung dan berkelakuan aneh dari kelakuan biasa. Satu perasaan yang sukar digambarkan oleh kata-kata dan hanya boleh diluahkan melalui satu perlakuan yang dianggap betul pada masa itu. Sesuatu beban yang tidak boleh diluahkan dan tidak boleh ditanggung lagi. Ia mungkin disebabkan oleh keadaan mental yang tidak stabil sama ada ianya dipengaruhi oleh hormon-hormon badan ataupun disebabkan oleh faktor-faktor rohaniah. Kita tidak dapat memastikan melainkan apabila satu kajian dan rawatan dilakukan. Sekiranya ia tidak ditangani awal kemungkinan perilaku insan yang mempunyai masalah tekanan ini akan bertambah teruk.


Bagi seorang wanita, terdapat beberapa keadaan yang boleh memaksanya menghadapi tekanan walaupun ianya bukan atas kemahuan. Antaranya lebihan hormon ketika kedatangan haid ataupun selepas bersalin. Ketika mengandung juga boleh berlaku tekanan perasaan sekiranya persekitarannya merangsang keatas ibu mengandung.


Dalam istilah perubatan "penyakit angin meroyan" atau sebagai penyakit tekanan emosi bagi ibu-ibu yang mengalaminya sewaktu atau selepas dalam pantang dikenali sebagai "postnatal depression" yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.


Tekanan emosi itu pula disebabkan oleh beberapa faktor sama ada faktor luaran mahu pun dalaman. Faktor luaran seperti faktor keluarga, persekitaran, akademik dan faktor sosial. Faktor dalaman pula seperti perubahan biologi, faktor personaliti dan konflik dalam diri.


Pernahkah anda terjebak dengan depression? Antara tekanan yang biasa saya alami adalah tekanan untuk mendapatkan sesuatu yang sukar ditentukan. Sukar ditentukan itu bermaksud kita tidak dapat menentukan masa untuk mencapai matlamat tersebut. Misalnya, menentukan bila kita akan mengandung, bila pula akan bersalin. Bila kita akan memiliki rumah sendiri atau bila kita boleh mendapat pekerjaan yang kita inginkan.


Walaupun kebiasaannya kita perlukan matlamat dan perancangan yang strategi, tetapi kadang kala perancangan kita terpaksa ditunda atau diubah demi keperluan semasa. Apabila kita terlalu mengharapkan sesuatu itu menjadi kenyataan setelah berusaha, ia menjadi satu tekanan kepada kita. Kadang kala usaha juga tidak memadai, kita perlukan kerjasama orang-orang disekeliling kita. Namun bila orang-orang disekeliling kita tidak memberikan sepenuhnya kerjasama atau tidak membantu. Kita akan merasa tekanan. Ditambah pula, orang disekeliling kita hanya tahu memberi komen dan mengkritik kerja yang kita hasilkan.


Ada pula tekanan disebabkan oleh kesihatan, kurang tidur, kurang rehat atau kurang sihat juga boleh menyebabkan berlakunya tekanan perasaan. Apabila kita kurang rehat dan tidur, kita akan merasa letih dan lekas marah. Apabila segala urusan tidak berjalan dengan baik dan tak seperti diharapkan. Tekanan berlaku. Begitu juga dengan kurang sihat, kita merasa sakit,lemah dan menyebabkan kita merasa tertekan.


Kadang-kadang kita berfikir yang kita mungkin boleh meramal masa depan orang lain tetapi kita juga pernah terfikir mengapa kita tidak boleh meramal masa depan kita sendiri. KIta tidak tahu apa yang berada dihadapan kita. Menyebabkan rasa tertekan.


Kita perlu pandai mengawal perasaan tekanan ini yang boleh membunuh diri kita sendiri. Pertama sekali adalah diri kita sendiri. Bagaimana kita mengawal emosi kita. Kalau kita sendiri tidak meletakkan sikap positif dalam diri kita. Kita akan lebih tertekan. Misalnya, seorang isteri berbalah dengan suaminya kerana kurang memahami jiwa ataupun keadaanya semasanya seperti haid ataupun mengandung. Oleh kerana tekanan itu datang di samping oleh kesan hormon wanita, tekanan itu berlaku terlalu hebat. Oleh sebab itu, kita perlu cepat menyedari bahawa kita berada pada batasan hormon itu, selain itu, orang yang tersayang, ibu bapa atau suami amat memainkan peranan penting dalam membendung masalah ini supaya iak tidak menjadi lebih serius. Pamerkan sifat kasih sayang, bertanya masalah dan yang paling utama adalah sentiasa berada disamping orang yang menghadapi tekanan supaya ia tidak melakukan sesuatu diluar jangkaan dan menunjukkan perasaan kasih sayang itu.


Tekanan yang terlalu kuat boleh merosakan pemikiran. Apabila kita tertekan, kita perlu berpaling dari tekanan itu. Kita perlukan seseorang untuk kita mengadu dan sekurang-kurangnya meluahkan perasaan kita. Kita perlu berjumpa dengan kaunselor ataupun orang yang lebih berpengalaman dari kita. Kita perlu menyelesaikan masalah tersebut supaya ia tidak berlarutan.


Kadang-kadang perkara yang berlaku itu, yang menyebabkan tekanan dalam diri seseorang itu perlu ada self-motivated. Kita perlu menerimanya sebagai takdir. Kita perlu kembali kepada Allah. Kita perlu mengadu kepadanya. Kita perlu sujud dan menadah tangan memohon kepadanya agar kita keluar dari masalah itu. Memberi kita hidayah ataupun kekuatan untuk kita menempuhi cabaran atau ujian yang sedang berlaku kepada kita. Segala keluh kesah perlu kita pajatkan kepada Allah. Mengadu kepada Allah. Menanggislah dan mintalah kepada Allah. Insya Allah selepas itu, sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan dalam diri kita.


Apa yang pasti akhirnya kita akan kembali kepada Allah. Buat yang terbaik. Sesungguhnya orang yang berputus asa itu terputus dari rahmat Allah.


Janganlah berputus asa terhadap rahmat Allah sesungguhnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah kecuali orang-orang yg kafir.


Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, anganlah kamu BERPUTUS ASA daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [AZ- ZUMAR:53]


“Mereka menjawab: "Kami menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang BERPUTUS ASA." [AL HIJR:55]


“Ibrahim berkata: "Tidak ada orang yang BERPUTUS ASA dari rahmat TuhanNya, kecuali orang-orang yang sesat.” [AL HIJR:56]


“Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu BERPUTUS ASA daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada BERPUTUS ASA dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." [YUSUF:87]


Apabila tekanan berlaku kepada saya... pertama sekali tenangkan diri.. kedua.. minta orang tersayang berada disamping kita... dan ketiga.. mengadu kepada Allah... minta pada-Nya ketenangan jiwa... Insya Allah...

Friday, November 13, 2009

Mari kita baca khutbah jumaat hari ini..

Aku sedang mengadap komputer sambil mendengar khutbah jumaat hari ini.. topiknya sangat menarik.. maka aku carilah isi khutbah tersebut.. malangnya translation dalam rumi belum lagi dibuat.. nanti dah ada.. aku bagi eak.. aku cabar korang...

Kalau korang Anak Melayu sila baca khutbah ini sampai habis!!


جابتن كماجوان إسلام مليسيا
” منجاض ادب كتيك فرسليسيهن فندافت “
(13 نوؤيمبر 2009 / 25 ذوالقعدة 1430)


سيدغ جمعة يغ درحمتي الله سبحانه وتعالى،
فد هاري جمعة يغ فنوه بركت دان دالم مسجد يغ سوخي اين، ماريله كيت برسام-سام تيغكتكن كتقوائن كفد الله سبحانه وتعالى دغن برسوغضوه-سوغضوه ملقسناكن سضالا فرينته دان منجاءوهي سضالا لارغنث. سسوغضوهث اورغ يغ فاليغ باءيق دسيسي توهن اياله اورغ يغ فاليغ برتقوى. تاجوق خطبة كيت فد هاري اين اياله: " منجاض ادب كتيك فرسليسيهن فندافت " .

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله سبحانه وتعالى،
إسلام اداله اضام يغ شمول دان لغكف. جك ماءنسي دافت مغيكوتي اضام ايت دغن خشوع دان ترتيب، اي اكن ممباوا كفد كخمرلغن. تتافي سجق كبلاكغن اين كيت دلندا وابق يغ مربهايا ياءيت فرسليسيهن فندافت اتاو إختلاف تربوك دانتارا علماء دغن علماء، اورغ عوام دغن علماء اتاو اورغ فوليتيك دغن علماء مغناءي ايسو اضام إسلام. اف يغ لبيه ممرنجتكن كيت لاضي اياله فنيغكتن اورغ بوكن إسلام دان اورغ يغ جاهيل اضام تنفا سضن سيلو مغلواركن فندافت تربوك تنتغ إسلام.
برداسركن فمرهاتين منبر، إختلاف دكالغن فيهق۲ ترسبوت تله منيمبولكن سواسان كلم-كابوت دالم مشاركات إسلام سكاليضوس منججسكن نام باءيق اضام إسلام سرتا فغانوتث. منبر ايغين مغيغتكن جماعه دان اومت إسلام سكالين، جاغن ممفربسر-بسركن ايسو خلافية، ايسو ريميه-تيميه سفرتي تهليل، مولد الرسول، تلقين دان سباضايث. ايسو اين اداله ايسو لاما دان علماء يغ بيجق لاضي وارس تيدق ممفربسر-بسركنث.

سبدا رسول الله صلى الله عليه وسلم درفد عِيَاضِ بْنِ حِمَارٍ:
مفهومث: "سسوغضوهث الله تله ممبري وحيو كفد اكو يغ ممرينتهكن سوفايا كامو سموا برصفة تواضع سهيغض تيدق اد سسأورغ فون مراس ديريث مضه (لبيه بغض ديري) دري اورغ لاءين دان تيدق بوليه سسأورغ ايت منظالمي دان ملمفاوءي باتس ترهادف اورغ لاءين". (رواية مسلم)

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله سبحانه وتعالى،
مروجوع كفد سجاره إسلام، إمام مالك، إمام شافعي، إمام حنفى دان إمام حنبلى سرتا اليرن مذهب يغ لاءين ممفوثاءي كأيستيميواءن دان كلبيهن ماسيغ۲. انق۲ موريد دان فغيكوت۲ مريك سماكين برتمبه دري هاري كهاري. تتافي مريك تله منونجوقكن سيكف موليا سفرتي ساليغ حرمة مغحرمتي أتس سماغت ستياكاون يغ تيغضي.
أف يغ جلس، إسلام تله ملتقكن اداب۲ يغ تيغضي كأتس ستياف مسلم دالم فروسيس فرضاءولن سسام مسلم ترماسوقله كتيك برسليسيه فهم مغناءي ايسو يغ كورغ جلس. نامون بضيتو كيت دتضه مغهينا علماء ترتنتو والاوفون بربيذا فندغن اتاو فندكتن. علماء دهولو اداله اومت يغ ترباءيق دان مندافت فغإعترافن دري مشاركات كتيك ايت.
أف يغ مثديهكن سكارغ اياله فرسليسيهن فندافت يغ ممباوا كريسيس علماء مروضيكن نضارا دان أومة. كأداءن اين دبوروقكن لاضي افابيلا اد فيهق يغ أنتي-علماء منوليس اتاو ممبوات كثاتاءن سخارا سدر، جلس دان برتروسن دغن نية دان تيندقكن اونتوق مغهينا إسلام.
منبر كسل دغن اداث فرخوباءن فيهق۲ ترتنتو كونونث أتس داسر كبيبسن برسوارا، برفيكير دان مغلواركن فندافت، مك سوينغ-وينغث ماهو منجاديكن إسلام دان سضالا حكوم شريعة إسلام سباضاي سواتو فرديبتن يغ بيبس مغيكوت سسوك هاتي سسيافا سهاج دان مغنفيكن اساس۲ قاعده دان ديسيفلين علمو يغ بتول دالم إسلام.
كدغكلن علمو سستغه فيهق بوكن سهاج مروسقكن ايميج دان كسوخين اضام إسلام، ماله اكن منيمبولكن ككليروان يغ مربهايا دكالغن مشاركات عوام خصوصث مشاركات إسلام دنضارا اين. منبر برفنديرين جك اضام إسلام دبياركن دديبت سخارا بيبس، اغكوه دان سومبوغ بوغكق سفرتي يغ دتوليس اتاو دلاءوغكن اوليه فيهق ترتنتو تنفا مغيكوت ديسيفلين علمو إسلام يغ بتول، مك كويباواءن سلوروه اينستيتوسي إسلام دنضارا اين اكن تردده كفد خرخاءن دان فغهيناءن.

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله سبحانه وتعالى،
منبر مندافتي بودايا فيهق ترتنتو يغ تروس مثرغ علماء دالم حاصيل توليسن مريك سخارا مغهينا دان بيادب اداله سواتو فركارا يغ تيدق دافت دتريما. فرسوءالنث كناف ضولوغن علماء منجادي ساسرن سرغن يغ برتروسن اوليه فيهق۲ اين.؟
علماء يغ برعمل دغن إسلام سبنر تيدق فرنه مندعوا ديري مريك سباضاي ماءنسي سمفورنا. نامون جك سكليفون فندافت علماء ماهو دكريتيك، كناف فرلو مريك دهينا دان دخرخا دغن ممفرماءين-ماءينكن دان مرنده-رندهكن فريبادي مريك دغن كات۲ مغهينا. مثدري حيقيقة اين، اومت إسلام يغ ترليبت دغن فرسليسيهن فندافت ايت فرلو منجاض اداب۲ برايكوت:

فرتام: برصفة لافغ دادا منريما كريتيقكن يغ ممبينا. سيكف سدمكين دافت مغهيندركن كيت درفد برصفة سومبوغ دان بغض ديري أتس كلبيهن ديري يغ اد.
كدوا: مميليه فركاتاءن يغ ترباءيق دالم سيسي فربينخغن.
كتيض: منجاض تيغكه لاكو دان توتوركات دغن لبيه برسوفن. هيندركن درفد خاخي ماكي دان نفسو جاهت سهيغض ترضلينخير درفد كبنرن.

إنصافله، إختلاف بوليه دساله تفسير اتاو دمانيفولاسيكن اوليه سواتو فرانخغن برنية جاهت دان سأوله-اوله اد سواتو اوسها ترسوسون دري فيهق۲ ترتنتو اونتوق مثرغ إسلام دان اينستيتوسي علماء دنضارا اين. سباضاي لغكه فغاولن، ماريله كيت ممليهارا فركارا۲ برايكوت:

فرتام، والاوفون إسلام ممبنركن إختلاف تتافي واجب كيت منجاءوهيث سكيراث اي تيدق منداتغكن مضرة يغ لبيه بسر.
كدوا، فركارا يغ بوليه دإجتهاد ايت فرلو مماتوهي ببراف شرط باضي ممستيكن كأصلين فربينخغن ترسبوت.
كتيض، مغيكوتي أخلاق فارا سلف الصالح دالم فرضاءولن سسام مريك كتيك ترجادي إختلاف.
كأمفت، دلارغ منودوه اتاو ممفتنة سسام إسلام كخوالي دسرتاءي علمو دان كعاديلن.
كليما، تيدق منخمفور ادوقكن انتارا مسئله إجتهادية دغن مسئله إفتراق (فرفخهن).

مقصودث: " اوليه سبب ايت جك مريك برحجه ممبنتهمو مك كتاكنله: اكو تله برسره ديريكو كفد الله دان دمكين جوض اورغ يغ مغيكوتكو. دان برتاثله كفد اورغ يغ دبري كتاب، دان اورغ يغ بوتا حروف: سودهكه كامو مماتوهي دان منوروت (اضام إسلام يغ اكو باوا ايت)؟ جك مريك مملوق إسلام، مك سبنرث مريك تله مندافت فتنجوق; دان جك مريك برفاليغ، مك سسوغضوهث كواجيفنمو هاثاله مثمفايكن
(دعوة إسلام ايت). دان (ايغتله) الله مها مليهت (تيغكه لاكو) سكالين همباث" (آل عمران:20)

Alhamdulillah...

Monday, November 2, 2009

Kursus Kepimpinan Badan Bukan Kerajaan dan Syarikat Seni Peringkat Zon 2009, Zon Tengah (Perak)





Satu hari aku dan suami menghadiri Open House MKN di Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor. Abu Hassan, Timbalan Pengerusi Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), mempelawa aku dan suami menghadiri kursus ini. Setelah mendapat surat dan jadual kursus yang telah difaxkan oleh Awaludin.. aku berfikir banyak kali nak pergi.. semuanya 50-50 sebab masanya yang terlalu padat dan 4hari pula..

bincang punye bincang.. last-last aku gi sorang.. sume borang dll suami aku urus.. hehehe.. itulah syaratnye..

Hari 1

Seawal 9 pagi aku dan suami bertolak dari rumah dan tiba disana lebih kurang pukul 11.45 pagi. Katanya van akan bertolak kul 12 tengahari. Aku pun menunggu lah.. malas pula nak makan tengahari sebab masih kenyang pagi tadi aku sempat beli nasi lemak untuk sarapan. Katanya mungkin boleh berhenti dimana-mana untuk makan tengahari. Tunggu punye tunggu van tiba pukul 12.20 tengahari. Huh! lewat dah.. pula kena ambil orang lagi di Kuala Selangor. Kemudian meneruskan perjalanan, dan tak pula menyinggah mana-mana. Sampai di Resort Teluk Batik sudah melepasi pukul 4 baru mendaftar dan mendapatkan bilik. Tidak sempat aku nak makan petang terus masuk ke slot pertama kursus. Perut ku keroncong sangat-sangat.. tapi apa boleh buat.. serba tak kena.
Slot ini penceramahnya adalah En. Sukarno Abd Wahab dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang dengan ceramahnya Strategi Membentuk Sebuah Organisasi.

Habis slot 1, Riadah dibatalkan dan aku mengambil kesempatan mengemas baranganku di bilikku Blok Teratai BT 2-1. Aku memberitahu roomateku Kak Liza, betapa laparnya aku ketika itu. Memang tak tahan. Dalam pukul 8.00 malam kami pun turun makan.. tapi perut aku dah masuk angin.. aku makan sikit je. Masuk slot ke 2. Ada LDK. Dimana kitorang dalam group kena bentuk sebuah organisasi dan menerangkan organisasi kami. Emm.. disitulah mulanya berkenalan dengan ahli group 3. Okeylah.. semuanya..

lepas minum malam tu.. aku pulun tengok cite kegemaranku di AXN - CSI... huhuhu.. dalam kul 1 pagi barulah aku tidor.

Hari ke 2

Aku tak pergi senam seni.. huhuhu.. aku sebenarnya tak ingat pun.. pagi tu hujan renyai.. sedap tdo. Masa nak makan dengan Kak Liza baru aku nampak diorang balik dari senaman. Ermm.. takpelah.. yang penting aku sempat sarapan pagi ni.. Seterusnya Slot "Perancangan Strategi" yang dikendalikan oleh Ramli Saleh, Pengarah Jabatan Kebudayaan Negeri Perak. Slot ini agak berat sikit bagaimanapun aku boleh memahaminya walaupun aku sebenarnya hanya wakil sahaja. Sekurang-kurangnya aku ada pengalaman untuk perancangan strategi.. bukan sahaja untuk persatuan tetapi untuk masa depan keseluruhannya.

LDK pula kami diminta untuk merancang strategi bagaimana untuk membawa pelapis masuk ke dalam organisasi. Selepas makan tengahari, slot berikutnya adalah bagaimana idea berkesan dalam membangunkan sesebuah organisasi. Sekali lagi En. Sukarno memberi ceramahnya dan riadah petang itu, kitorang pergi ke tepi pantai Teluk Batik dan mengadakan sedikit aktiviti.
Selepas aktiviti aku bersendirian mencari mood dan cuba mendapatkan pemandangan yang menarik. Agak penat kemudian aku singgah mencari cenderahati di kedai-kedai di tepi jalan. Aku melangkah pulang menunggu waktu makan malam dan kemudian kembali ke slot berikutnya iaitu Halatuju dan cabaran kebudayaan masakini.
Harini aku mudah sahaja tidur... letak kepala atas bantal.. dan lelap..

Hari 3

Seawal 6.15 pagi aku terjaga walaupun aku set jam pukul 6.30pagi. Mandi dan bersiap-siap untuk turun senaman. Hari ini, berpeluh-peluh.. seronok.. dah lama aku tidak mengadakan senam rabak ini.. huhuhu..

Lepas sarapan, aku terus naik ke ballroom, malas nak tukar baju.. bilik aku hujung dunia. Pagi tu, En. Lokman Ab Ghani, Produksi Istana Budaya pula memberikan ceramahnya. Hari ini aku mula merasai rindunya untuk balik ke rumah. Mungkin sudah penat agaknya. Rehat tak cukup.
Selepas makan tengahari, aku berkejar untuk menyalin baju dan Dr. Ab. Samad bin Kechot pula memberikan ceramahnya berkenaan "Kepimpinan". Banyak bahan yang aku perolehi disini. Slot ini LDK nya menyaksikan pembubaran ahli kumpulan lama dari 3 kumpulan menjadi 5 kumpulan. Dan aku termasuk ke dalam kumpulan 4.
Untuk malam ini pula, makan malam telah dilewatkan pada pukul 10malam untuk malam terakhir adanya "dinner" yang berkaraoke. Em.. apa lagi pak Hassan TA mendahului carta. Aku pula sedang merana.. tiba-tiba telefonku kena bar. Uhh.. aku tak sempat bayar untuk bulan ini.. dia sudah bar. Nasib baik, Kak Liza pinjamkan telefonnya untuk aku beritahu kepada suamiku. Dalam pukul 12 aku angkat kaki dengan Kak Liza.. kepala ku telah berikan signal untuk aku berehat.. berdenyut-denyut. Aku pulang awal, kemas barang dan tdo.
Hari ke 4

Hari ini PIBG mengadakan perhimpunan, bannernya tercatat MB Perak, Datuk Dr. Zamri Kadir akan datang. Walaucamne pun, pagi tu tetap diadakan senam seni. Pagi ni, dua orang dari MSN datang join kitorang punya senam seni. Berpeluh lagi aku.. tapi hari ini.. aku merasakan hari yang kurang menyenangkan. Badanku sudah beri signal untuk aku berehat. Kepalaku sudah pra-sakit kepala. Aku tidak layannya. Selepas sarapan, satu ceramah dari Md Yosoff Mahmud dari Lembaga Promosi Kesihatan telah memberikan ceramah. diikuti dengan penyampaian sijil dan sesi penutup. Sebelum penyampaian sijil. Ada beberapa persembahan dilakukan. Sayangnya aku terlupa untuk meminta bantuan teman mengambil gambarku menggunakan kameraku ketika mendapat sijil.
video


Selepas makan tengahari. Aku beredar terus ke bilik dan mengemas barang yang patut kerana jam sudah pun pukul 12 lebih dan aku perlu check out keluar dari resort. Kepalaku sangat berdenyut-denyut dan menyebabkan aku terpaksa menelan 2 biji panadol.

Lebih kurang pukul 1 tengahari berkumpul di hadapan resort. Kitorang dari selangor ini bergerak pulang. Ada pula permintaan untuk kitorang singgah makan durian perak. Ermm apa lagi.. sedapnya.. walaupun sakit kepala dan menelan panadol.. aku tak mahu melepaskan peluang merasa durian perak.



Kemudian kitorang berhenti di Kuala Selangor rehat. Di sinilah aku sekali lagi malang.. bila tanganku tersepit ketika membuka pintu. Ermm... bengkak juga tanganku sehingga kini.
Dalam pukul 7 malam baru kami sampai ke Kompleks Belia dan Kebudayaan setelah menghantar atuk, nenek dan Aiman sampai ke rumah. Suamiku sudah lama menunggu. Dalam pukul 9 malam baru aku sampai ke rumahku.
Di bawah ini adalah gambar-gambar yang paling aku suka...