Itu saya

Itu saya
Aku sayang negaraku. Tanah air ku. Agamaku. Bangsaku & keluargaku.

Mari faham isi AL-QURAN..

Mari sama-sama kita dengar tafsir AL-QURAN semoga hati kita lembut dan dapat hidaya

CLICK |> FOR THE NEXT SURAH.

Thursday, December 31, 2009

Selamat Tinggal tahun 2009

Tahun 2o09 penuh cabaran bagi aku. Bagi aku angka 6 dan 9 sangat-sangat mencabar.. ini kerana ia boleh terbalik dan diterbalikkan. Biasanya kejatuhan dan kemeruduman berlaku pada tahun ini.
Kehidupan aku juga begitu agaknya tahun ini penuh dengan warna warni. Setengah tahun 2009 aku abadikan di ILP Kuala Langat. Alhamdulillah.. OK lah... dan setengah tahun ke dua 2009 sangat memeritkan bagi aku.. pelbagai cabaran aku tempuhi.
Kehidupan ini terasa seperti menekan-nekan sanubariku.. tekanan sangat kuat.. mungkin bagi orang lain ia merupakan kegembiraan namun bagi aku ia merupakan satu tamparan yang sangat menyakitkan. Sehingga satu tahap aku merasakan aku ingin bersendirian dalam sebuah pulau yang tiada siapa yang mengenaliku ataupun disatu tempat di dalam sebuah kotak yang sangat gelap dan sunyi.
Pernah satu hari kejatuhanku.. aku ingin dipengsankan.. maksudku.. aku tak mahu mengetahui segala hal yang berlaku di sekelilingku. Tidak mahu tahu apa-apa! Namun cabaran ini perlu dilalui jua.. aku terpaksa melaluinya juga.. untuk berputus asa aku takut.. kerana sesungguhnya aku kadangkala terfikir "sesungguhnya Allah menguji seseorang itu mengikut kemampuannya" mungkin inilah ujian tuhan yang paling aku mampu hadapi.. mungkin aku tak mampu hadapi jika Allah mengujiku dengan kesakitan fizikal tetapi kesakitan ini yang mampu aku tanggungi.
tahun 2009,
Selangkah lagi aku akan kehilanganmu
Selangkah lagi semua ini akan jadi sejarah
Di mana usiaku akan bertambah
Di mana hayatku semakin berkurang
Tahun ini
Penuh sejarah
Aku menjadi pengerusi projek yang memeningkan kepala
Aku dianugerahkan penyunting filem terbaik MMA
Aku gembira atas kejayaan menguruskan projek tersebut
Aku kehilangan teman-teman ILP setelah tamat kursus
Aku menduduki rumah sewa baru dengan karenah tuan rumah baru
Aku menjadi tutor di ILP
Terpaksa berjimat cermat kerana kegawatan ekonomi
Hari raya yang tiada kemeriahan
Aku berjaya mendaftarkan syarikatku sendiri
Aku menerima berita kelahiran yang lama aku takuti
Aku menerima berita perkahwinan yang mengejutkan
Aku menerima berita kehamilan yang menghampakan aku sekali lagi
Aku masih disini..
dan
Aku masih cengini..
31 Disember 2009 - Hari ini, bengkak di buku laliku semakin pulih ( terpelecok kemarin ketika mengambil pakaian dari ampaian diluar), aku tidak melakukan banyak kerja kerana masih merasa sakit jika berjalan lama. Hari ini aku menggulung kertas untuk dijadikan bakul. Semakin besar dan aku berhenti seketika untuk melayang blog dan facebooks.
Azan isyak sudah pun berkumandang namun suamiku belum pulang dari kerja. Aku sendirian melayan diriku yang sudah lama sendirian. Mungkinkah sampai satu tahap aku lebih gemar bersendirian begini? Kata suamiku, untuk keluar hari ini melihat bunga api tahun baru.. tapi aku mula rasa mual untuk keluar... dan aku rasa hari ini.. aku mungkin akan duduk dirumah sahaja kerana suamiku sudah pulang lewat.
31 Disember 2009
Hari ini bakal jadi sejarah..
selama-lama hidupku...

Konsep Ijarah dan sewa menyewa

Ijarah atau dipanggil sebagai sewa menyewa dari sudut bahasa adalah isim (nama) ertinya upah, ataupun sewa menyewa.

Dari segi syarak ialah sewa menyewa iaitu melakukan akad dengan mengambil manfaat sesuatu yang diteri dari seseorang dengan cara membayar bersesuaian dengan perjanjian yang telah ditetapkan dengan syarat-syarat.

Sewa menyewa dianggap sah dengan ucapan ijab dan qabul seperti “Aku sewakan ini kepadamu atau aku kontrakkan ini kepada kamu atau aku berikan manfaat (jasa) kepadamu selama satu tahun dengan bayaran sewa sebanyak dot ..dot”. Dari Imam Nawawi r.a di dalam Syarah Muhazzab menyatakan “Sesungguhnya ketentuan yang berbeza dengan mu’athah (jualbeli secara sling memberi tanpa ijab qabul) berlaku pada transaksi sewa-menyewa, gadai dan hibbah”.

Sewa menyewa atau ijarah dianggap sah hanya jika alat/nilai pembayaran yang digunakan adalah setimpal dan diketahui berapa jumlah sewaannya serta perlu dijelaskan jika ianya bukan berbentuk wang tunai.

Tidak sah menyewakan rumah atau kenderaan dengan sekiranya penyewa dianggap membayar sewa rumah dengan membaikpulih kerosakan atau mengecat seluruh tembok rumah dsbg.

Sewaan tidak terbatal sekiranya penyewa meninggal dunia. Sewaan terbatal sekiranya barang sewaan rosak dan tidak dapat dimanfaatkan oleh penyewa. Sewaan sebuah kereta yang dipandu dari Kuala Lumpur ke Kedah tidak akan terbatal jika kereta itu rosak semasa dinaiki kerana penyewa hanya menyewa manfaat dari kemampuan kereta tersebut untuk sampai ke destinasi bukan “kereta” itu.

Penyewa yang jujur dan berhati-hati dalam menggunakan barang sewaan tidak mempunyai kewajipan untuk menanggung kerosakkan yang dialami dari barang sewaanya. Namun sekiranya barang sewaan atau binatang sewaan itu digunakan tidak berhati-hati oleh penyewa maka ia menjadi satu tanggungjawab penyewa menanggung kerugian pemberi sewa.

Dari ayat diatas saya merumuskan begitu juga dengan rumah sewa. Kita menyewa rumah kerana manfaat dari kemampuan rumah itu didiami bukan menyewa “rumah” itu. Oleh sebab itu, sebarang kerosakan adalah tanggungjawab orang yang memberi sewa. Penyewa tidak menanggung kos baikpulih rumah tersebut. Begitu juga seperti mengecat rumah, membaiki paip tersumbat atau atap yang bocor.

Penyewa berhak untuk menuntut kos baikpulih yang telah didahulukan kecuali atas dasar budibicara penyewa untuk menghalalkan kos tersebut. Orang yang memberi sewa tidak berhak menolak tuntutan kos baikpulih yang telah didahulukan oleh penyewa bagi memperbaiki rumah sewaannya sekiranya “rumah” itu mengalami kerosakan lebih-lebih lagi kerosakan itu memang diketahui oleh orang yang memberi sewa. Sekiranya perkara itu berlaku, maka orang yang memberi sewa telah menyebabkan kerugian kepada penyewa dengan kata kasarnya memakan hasil duit sewaan haram selagi mana penyewa tidak menghalalkannya.

Inilah sebahagian yang aku pelajari dahulu.. dalam bahasa indonesia.. so aku translate ikut permahaman aku... sekiranya ada kesilapan sila beri tunjuk ajar.. sekian.

Friday, December 18, 2009

Alhabib Islamic Greeting Card

Selamat Tahun Baru Hijrah 1431 dan Selamat Hari Lahir aku ke 31!

Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua umat Islam di seluruh dunia yang menyambutnya. Hari ini adalah hari yang sangat baik. Hari ini adalah hari Jumaat bersamaan 1 Muharram 1431H.
Semalam bola punye pasal aku terlupa untuk membaca yasin dan membaca doa akhir tahun. Tapi alhamdulillah, aku sempat membaca doa awal tahun. Emm.. tahun baru hijrah ini perlukan azam yang baru.. azam yang sangat kuat... azam aku.. seperti azam tahun-tahun yang lepas yang belum dapat dilaksanakan kecuali dengan izinNya. Masih menunggu...
Adapun tahun ini.. pada bulan 12 ini.. aku sekali lagi meraikan hari lahirku pada 26 MuHarram ini menyambut kelahiranku pada tahun Hijrah. Pada tahun 1431H maka aku pun 31 tahun.. kerana kelahiranku pada 1400H. Cepatkan... baru je aku masuk 30 Tahun Masihi.. aku sudah 31 tahun Hijrah. Sebenarnya antara tahun Masihi dan tahun Hijrah memang bagai langit dan bumi. Pada tahun Masihi aku lahir pada bulan terakhir manakala pada tahun Hijrah aku lahir pada bulan pertama.
So.. begitulah..
aku kemudian ini mencarilah doa awal dan akhir tahun...
Doa ini diambil dari buku kecil Majmuk Syarif. Inilah doa akhir tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali pada akhirnya waktu asar hari ke 29 atau 30 daripada bulan zulhijjah, maka barangsiapa membaca doa ini daripada waktu yang telah tersebut maka berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini maka diampuni Allah Ta'ala sekalian dosanya yang setahun ini.
Inilah doanya:
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اللّهُمَّ ماَ عَمِلْتُ فِي هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنِي عَنْهُ فَلَمْ أَتُبْ مِنْهُ ولَمْ ترضه ولم تَنْسَهُ وحَلِمْتَ عَلَيَّ بعدَ قُدْرَتِكَ على عُقُوبَتِي ودَعَوتَنِي إلَى التَّوْبَةِ منه بعد جُرْآتِي على مَعْصِيَتِكَ فَإنِي استغفرك فاغفرلِي وما عَمِلْتُ فيها مِمَّا ترضاه ووَعَدْتَنِي عليه الثَّوابَ فأسئلك اللهم يا كَرِيْمُ ياذا الجلال والإكرام أن تتَقَبَّلَهُ مِنِّي ولا تَقْطَعُ رَجَاِئي مِنْكَ يا كرِيْمُ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.
Sementara fadhilat doa awal tahun pula dinyatakan, Inilah fadhilat doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca dia ini 3 kali kemudian daripada sembahyang maghrib pada malam satu haribulan Muharram dan barangsiapa membaca ini maka bahawasanya syaitan berkata Ia telah amanlah anak adam ini daripada aku barang yang tinggal daripada umurnya pada ini tahun kerana bahawasanya Allah Ta'ala telah mewakilkan dua malaikat memelihara akan dia daripada fitnah syaitan,
inilah doanya:
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اللّهُمَّ أنت الاَبَدِيُّ القَدِيْمُ الأوَّلُ وعلى فَضْلِكَ العَظِيْمِ وُجُودِكَ المُعَوَّلِ، وهذا عَامٌ جَدِيْدٌ قد أقبَلَ نَسْأَلُكَ العِصْمَةَ فيه من الشيطانِ وأوْلِياَئِهِ وجُنُودِهِ، والعَوْنَ على هذه النَّفْسِ الأمارة بالسوءِ، والاشتِغاَلَ بما يُقَرِّبُنِي إلَيكَ زُلْفَى ياذا الجلالِ والإكرامِ يا ارحمَ الراحِمِيْنَ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.
Syeikh al-Imam Jamaluddin al-Qasimi berkata doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal dari Nabi s.a.w. tidak juga berasal dari para sahabat, tabiin dan tidak diriwayatkan dalam musnad-musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam kitab maudhuat (iaitu kitab yang memuatkan hadis-hadis palsu).
Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan "berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini" merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya.tetapi sekiranya sesiapa yang hendak membacanya tanpa beri'tiqad seperti yang ada di dalam fadhilat yang direka tersebut silakan, kerana termasuk di dalam keumuman doa, dan perlu diingat tidak ada upacara khas atau dibaca beramai-ramai.
(Sumber: http://abusyuaib.blogspot.com/)

Malaysia vs Vietnam di Sukan SEA, Laos. Malaysia Menang 1 - 0!

TAHNIAH MALAYSIA!
Aku Bangga dengan dengan Skuad Harimau Muda Negara yang beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos kerana berjaya membawa pulang pingat emas untuk Malaysia dalam acara ini. Aku bukannya peminat sukan sangat lebih-lebih lagi bola sepak. Walaubagaimanapun, aku menemani suamiku menontonnya dirumah. Suamiku memang minat bola. Bukan senang melihat suamiku terpacak dirumah pukul 5 petang. Memang dia menanti-nantikan siaran langsung di TV. Menurut suamiku skuad yang diturunkan adalah Skuad Muda negara, Harimau Muda.. aku pun kurang arif mungkin itu barisan pelapis..


Mula permainan aku kurang beri perhatian. Lagipun, aku lihat pemain Malaysia kurang melakukan serangan dan nampak berat punggung untuk kejar bola. Lebih banyak bertahan. Tetapi aku pula yang terlompat-lompat diseparuh masa kedua. Bila pemain Malaysia kian rancak mengatur serangan dan sangat menyampah melihat Vietnam melambat-lambatkan permainan kerana penjaga golnya Tan Truong Bui menghadapi kecederaan tetapi tidak dibawa keluar.


Paling geram bila lihat banyak peluang sebenarnya skuad Malaysia menjaringkan gol kerana keadaan digawang penjaga gol tidak terkawal namun aku juga tabik hormat dengan Vietnam melihat bila penjaga gol Vietnam tu tidak dapat mengawal bola, ada 2 orang pemainnya menjaga gawang gol. Strateginya sangat cantik.


Cuma mungkin nasib tidak menyebelahi Vietnam kerana Mai Xuan Hop tergol di gawang sendiri.


Lastly, aku merasa berdebar bila masa kecederaan bermula, kelihatan pemain Malaysia lebih banyak bertahan. Bukan sahaja bertahan tetapi berkumpul dan menendang bola jauh membabi buta ke sebelah lawan. Mungkin sebaiknya skuad Malaysia perlu menyerang terus menambah mata dan bukan bertahan kerana risiko bertahan itu lebih tinggi dari menyerang.


Aku lihat seperti penjaga gol malaysia Mohd Sharbinee Allawee, seperti melakukan perbuatan yang sama dengan penjaga gol Vietnam melambat-lambatkan masa kerana kecederaan di masa tambahan menyebabkan masa kecederaan bertambah entah berapa minit sebelum visel penamat ditiup.


Aku berbanggalah dengan skuad muda ini, kerana prestasi permainan mereka membuatkan aku yang tak minat bola ini melompat-lompat cemas bila bola mendekati gawang gol tak kiralah lawan ataupun sendiri. Sehinggakan suamiku geleng kepala tengok gelagat aku.


Bagi aku yang tak reti bola ini, skuad muda ini perlu lebih mantap sebab kelihatan teragak-agak untuk menangkap ataupun merampas bola dari pihak lawan. Sebolehnya pemainan mereka biarpun selamba tetapi cergas dan penuh strategi dan kejutan. Macam Safi Sali.. huhuhu...


Tahniah buat K Rajagobal dan Skuad Malaysia! Kerja Keras anda memartabatkan semula bola sepak negara. Tahniah buat kerajaan Malaysia kerana usaha anda mencorakkan pelapis negara nampaknya berkesan! Tahniah buat rakyat Malaysia kerana kejayaan ini!


AKU CINTA NEGARAKU!
Kalau tak menang pun.. aku tetap sokong negaraku... dan kalau tak menang pun, aksi yang ditunjukkan pada suku masa kedua tu.. aku tetap tabik kat skuad.. kalau macam tulah.. aku pon boleh jadi peminat bola sepak.

Tahniah sekali lagi!

Sarapanku Kacang Hijau

First time aku mencuba buat kuih Kacang Hijau ni. Kebetulan semalam semasa suami aku sibuk tengok perlawanan bola Malaysia menentang vietnam di sukan SEA di Laos, aku menyediakan minum petang - bubur kacang hijau. Oh ye.. aku mengambil kesempatan mengucapkan BRAVO pada pasukan muda malaysia, aku yang tak suka bola ni pun layan sebab aksinya mantap pada suku masa ke dua.
Berbalik kepada bubur tadi...Lebihan kacang hijau rebus tu aku buat kuih ini. Actually ni la first time aku buat.. alhamdulillah walaupun bentuknya tak berapa menjadi tetapi ia tetap sedap. Aku menggunakan resepi menggunakan santan bukan kelapa sebab kat rumah aku memang dah ada santan siap kotak. Kalau ada kelapa parut sebenarnya lebih mantap sebab kat kedai jual yang itu.

Aku baru tahu kuih kacang hijau ni ada pelbagai nama antaranya Kuih kasturi, Kuih Rengas dan Kuih Kacang Hijau. Aku tak bagi spesifik ingredient sebab nak buat kuih ni kena ada seni.. kalau sukat-sukat tu boleh tapi kekadang lari skit.. lebih senang aku cakap kalau buat kuih pertama kali tu.. tak jadi tu, lumrah.. kalau jadi tu, alhamdulillah.. perlu ada eksperimental dari segi sukatannya. Sebab kengkadang perlu banyak .. kengkadang perlu sikit.. so.. ikut kitalah.. rasa2 dah cukup kenyal jangan ditambah tepung lagi.. nanti gorengnya rasa tepung aje.. tak pun nanti macam makan batu pulak.. kena pandai2 budget sendirilah.. seni memasak tu penting.. lagi penting kalau rajin turun dapur.. boleh je.. insya Allah.



Okey berbalik pada resepi tadi tu, boleh jugak kalau dah penah buat bubur kacang tu.. lebihannya digunakan untuk buat kuih ni.. cuma tambahkan kelapa dan sedikit tepung supaya ia kenyal.


keylah.. resepinya dibawah...



RESEPI YANG MENGGUNAKAN SANTAN ATAU LEBIHAN BUBUR


Bahan-Bahan
utk inti (Bahan A)


1 paket kecil kacang hijau (direndam dahulu 1 - 2 jam atau sebelum tdo tu rendamlah)
air + 1 cawan santan
gula perang
garam
tepung gandum
1 helai daun pandan


utk kulit (Bahan B)
tepung gandum atau tepung beras
air
1 biji telur (kalau tepung gandum)
serbuk kunyit
Sedikit garam



Cara nak buatnya


Bahan A; Rebus kacang hijau sehingga agak hendak lembut. Jika masih agak keras tambahkan sedikit air lagi, toskan. Jangan tos kering sangat.. basah2 sikit.. kemudian bolehlah tambahkan gula perang, santan, daun pandan dan garam. Kacau sehingga kering dan lembut. Tambahkan tepung gandum sikit demi sikit sehingga dia likat supaya boleh dikaut ke dalam kuali. asingkan.

Untuk kulit (Bahan B); Masukkan tepung ke dalam mangkuk, letak air kacau sehingga sebati jika pekat tambah lagi sedikit demi sedikit air, masukkan telur, serbuk kunyit dan garam. Adunan ini seperti hendak mengoreng pisang.


Setelah siap, ambil inti kacang buat leper-leper atau kaut guna sudu jika terlalu lembik, kemudian masukkan ke dalam bahan B dan goreng di atas api yang sederhana. Goreng sehingga kekuningan. Angkat. Siap untuk disantap.



RESEPI MEMANG NAK GUNA KELAPA ATAU MEMANG NAK BUAT KUIH INI AJE


Bahan 1

1 cawan kacang hijau [rendamkan beberapa jam]
air secukupnya untuk merebuskan
gula pasir (ikut suka manisnya)
kelapa parut muda [putih saja]


Bahan2

tepung gandum
tepung beras
tepung jagung
kunyit serbuk
air kapur
air secukupnya
sedikit garam
minyak utk menggoreng



Cara


Kacang hijau direbuskan sehingga kacang hijau tu pecah/lembut dan kering airnya. [Jangan sampai hangus..nanti tak sedap]

Masukkan kelapa, gula dan tepung gandum. Kacau sebati dan sejukkan.
Ambil adunan sedikit dan bentukkan saperti bebola. Leperkan.
Bancuhkan bahan 2 untuk celupkan adunan kuih kacang.
Panaskan minyak dan gorengkan kuih kacang yg telah dicelupkan dgn bahan 2 sehingga kuning keemasan. Sejukkan dan hidangkan.

Okey.. simple jek...
Try lah..

Wednesday, December 16, 2009

Selamat Hari Lahir ke 30

Myspace Graphics

Hari ini genap umurku 30 tahun. Huh! 30 tahun... Usia ini begitu sekejap sahaja.. semalam semasa aku sedang mengadap PC suamiku datang dan mengucapkan "Selamat Hari Lahir" kepadaku genap pukul 12 malam... huh.. indahnya semalam.. lebih indah lagi sekiranya aku dikurniakan cahaya mata.. tapi aku tetap tabah menghadapi hari-hari mendatang. Aku percaya Allah sedang mengujiku.. inilah antara ujian yang getir pernah aku lalui.. aku percaya satu hari nanti Allah akan memberiku sesuatu yang lebih indah.

aku pada usia 30 tahun

Umurku sudah mencecah 30 tahun.. antara percaya atau tidak.. tahun hadapan umurku meningkat lagi menjadi 31 tahun.. pada tahap ini, orang mengatakan bahawa kematangan sudah terserlah. Aku tidak pasti sama ada aku matang atau tidak. Bukan aku yang dapat menilai diri aku sendiri.

Umur 30 tahun banyak pengalaman telah aku lalui.. sejak aku mumaiiz, aku mengerti apa itu solat, aku belajar berpuasa, ketika aku lari dari sekolah tadika.. huhuhu.. ketika aku bersekolah.. mendapat keputusan peperiksaan PMR, bertukar sekolah, ketika aku bercinta, putus cinta, belajar, berkuliah, konvo, konvoi, kontra.. kontrol.. kontang kanting dan kentang.. termasuklah berkahwin dan hidup berumahtangga.

30 tahun bukan sesuatu yang menyeronokkan bagi aku.. bagi aku usiaku kian bertambah, maka bertambah pula kuat ingatanku bahawa aku menghampiri kematian. Entah bila.. entah aku sudah cukupkah amalanku..

Pada umurku 30 tahun aku terasa sunyi lagi.. mengidamkan cahaya mata.. aku selalu menangis kerananya.. lebih-lebih lagi apabila orang-orang terkemudian dariku memperolehinya... sering tertanya-tanya.. bilakah.. bilakah.. aku tak mampu menjawabnya... aku pasrah..

Pada umurku 30 tahun.. aku masih belum mempunyai kekuatan diri lagi.. kekuatan untuk aku berdiri dengan sendiri.. melihat kejayaan orang lain, kebahagiaan orang lain dan kemantapan kerjaya orang lain.. tapi aku? merangkak .. masih lagi merangkak..


Myspace Happy Birthday


Pada umurku 30 tahun.. aku bersyukur.. kerana aku masih lagi tetap aku.. aku bukannya pengisap ganja atau aku bukannya penjenayah... dan aku masih disini menaip kerana aku masih hidup...

Pada umurku 30 tahun... aku sudah memiliki syarikat sendiri biarpun masih merangkak tapi aku sudah mempunyai sesuatu hak.. aku tidak lagi berkerja dengan orang lain yang mengarahku itu dan ini malah ada yang cuba menjadikan aku kambing hitam ketika dia mengelapkan wang syarikat.

Pada umurku 30 tahun, aku sudah mempunyai seorang suami yang kuat bekerja, romantik dan berkarisma. Hidupku terjaga dan baik sentosa. Aku bersyukur kerana pada usia ini, aku masih boleh berjalan dan sihat walafiat.

Sesungguhnya pada usiaku ini, aku perlu memantapkan lagi perjalanan hidupku. Pada usiaku ini, aku perlu menjadi lebih matang dan reda dengan ketentuan tuhan.

30 tahun..
Jantungku sudah 30 tahun berdegup.. Alhamdulillah...

Tuesday, December 15, 2009

Doa Minta Rezeki, Keampunan dan Kedudukan yang baik

DOA MEMINTA REZEKI
Surah Al- Maa'idah - ayat 114



قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنزِلْ عَلَيْنَا مَآئِدَةً مِّنَ السَّمَاء تَكُونُ لَنَا عِيداً لِّأَوَّلِنَا وَآخِرِنَا وَآيَةً

مِّنكَ وَارْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Isa ibni Maryam (pun berdoalah kehadrah Allah dengan) berkata: "Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mu'jizat) daripadamu (yang menunjukkankebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi Rezeki."



DOA MEMINTA KEAMPUNAN ALLAH
Surah Al-Qasas - Ayat 16

Maksudnya;
Ia merayu (dengan sesalnya); "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". ( Maka Allah Ta'ala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"


DOA MEMOHON KEDUDUKAN YANG BAIK
Surah Al-Israk - Ayat 80

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا

Maksudnya;
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa); "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukkan yang benar lagi mulia, dengan cara keluar yang benar lagi mulia, dan berikanlah kepadaku dari sisimu hujjah keterangan serta kekuasaan yang menolongku".

Cerai Kerana Duit

Sekali lagi aku ingin merumuskan satu tajuk dari semanis kurma yang aku tengok.. aku memang suka tengok semanis kurma kerana banyak tips yang aku dapat berserta doa-doa harian. Tajuk kali ini aku kutip adalah berkenaan Cerai kerana Duit atau juga Cerai kerana Wang atau Saparate because of Money.. huhuhu.. same la tuhh...

Perkara pertama adalah mengapa perkahwinan boleh gagal? Niat semasa ingin mendirikan rumahtangga adalah kerana lelaki atau perempuan itu mempunyai wang. Isteri yang suka meminta cerai bukan kerana syarak diharamkan menghidu bau syurga.. ermm.. kalau bau syurga pun tak boleh.. inikan pula nak masuk syurga. Lagipun kenapa plak nak mintak cerai.. mintaklah buah cermai.. fuhhh.. dah lama tak makan asam buah cermai.. kecur air liur aku..

Suami bertanggungjawab dari segi kewangan, fizikal dan kehormatan isteri. Kewangan tu bermaksud dia yang memberi nafkah kepada isteri. Setengah pendapatan suami perlu diberikan kepada isteri... ermmm... kalau betul macam tu.. pehh.. siokk nyeee... bole lah belanje makan Nasi Lemak Antarabangsa..

Hukum mengatakan kalau isteri tidak pernah mendapat haknya, jika isteri mencuri duit suami ada hak untuk dia berbuat demikian (ikut nilai yang dia berhak.. kalo dia curi sume duit laki dia.. camne laki dia nak bayar duit minyak kereta pergi kerja... looorr...).

Apakah tujuan perkahwinan
  • Terhalanglah mata dari perkara-perkara yang diharamkan
  • Kehidupan yang tenang, kasih sayang, sakinah, mawaddah, warahmah
  • Menghangatkan rumahtangga

Tip-tip kebahagian

- Bina rumahtangga kerana Allah (matlamat berumahtangga kerana Allah)
- Suami pimpin isteri dan anak-anak kejalan yang diredai
- Amalkan doa
- Jangan minta suami yang tidak termampu olehnya
- Berusaha menaikkan ekonomi rumahtangga

Doa yang diberikan adalah seperti ini

# Surah Al-Imran - ayat 26 & 27 untuk meminta rezeki daripada Allah
# Surah At-Taubah - ayat 128-129 - doa untuk memenuhi keperluan yang cukup
# Surah Al-Anbiya - ayat 87 - doa untuk yang berhajat sangat mendesak

Sekian sahaja.. kesimpulan yang boleh aku dapat dari rancangan semanis kurma

Saturday, December 5, 2009

Ciri-ciri lelaki idaman 1 - Terima Seadanya!

Untuk kali ini aku telah membaca beberapa komik karangan motomi kyousuke dan aku telah memetik beberapa bahagian dari beberapa cebisan karyanya untuk diperbincangkan. Entah kenapa bila aku mula membaca komik karyanya, aku rasa seronok dan berharap fantasinya adalah realiti untuk setiap lelaki. Tetapi mungkinkah fantasi itu hanyalah anganan setiap wanita yang inginkan lelaki untuk menerima dirinya seadanya?

Mungkinkah perkataan "aku terima dirimu seadanya" itu hanya di bibir ketika sedang asyik bercinta dan setelah 4 tahun berkahwin semuanya "perlu diperbetulkan" atau "ditegur" walaupun perkara itu sebenarnya remeh. Misalnya "lambat tutup tingkap kereta ketika sudah sampai ke destinasi" atau "lambat bersiap" ataupun "lauk masin" dan banyak lagi hal remeh yang kelihatan.
Mungkinkah sudah sampai masanya untuk melihat bintik-bintik hitam dalam kanvas suami isteri? Mungkinkah sudah sampai masanya untuk memadam bintik-bintik hitam dalam satu kanvas yang putih? Bukankah lebih banyak putih dalam kanvas itu? sehingga titik-titik hitam itu sahaja menjadi perhatian? Fikir-fikirkan...
Dalam hubungan suami isteri terlalu banyak kelemahan yang akan terpamir setelah sekian lama bersama. Semasa bercinta kebanyakan teruna dara menyorokkan kelemahan masing-masing. Semuanya indah belaka. Cukup jarang melihat pasangan mempamerkan kelemahan masing-masing. Tetapi berapa ramai yang menerima kelemahan suami atau isteri seadanya? Berapa ramai yang suka mengungkit dan berapa ramai yang bercerai kerananya? Hanya kerana bintik-bintik hitam yang berada dalam kanvas suami isteri itu.


Kadang-kadang apabila pasangan suami isteri itu memang saling melengkapi pasti akan timbul pula hal remeh temeh untuk digaduhkan. Mungkin pergaduhan itu mengikat kasih sayang yang lebih bermakna dan mungkin juga pergaduhan itu boleh membawa kepada kemusnahan rumah tangga.

Ibarat karya seniman Allahyarham P. Ramlee dalam ceritanya seniman bujang lapuk. Sudin berkata "Pasal belacan pun kau nak pancung dia ke?" tetapi itulah hakikatnya dalam kehidupan seharian suami isteri, kadang kala perkara remeh sebegini, pergaduhan sering berlaku. Selalunya salah satu pasangan lupa dengan hari-hari lain yang selalunya betul tetapi bila satu hari "salah" maka beberapa hari yang silap itu semuanya diungkit. Dia lupa kepada hari-hari yang "betul" begitulah dilihat pada kanvas yang berwarna putih itu tetapi warna hitam itu merimaskannya.



"Hanya untuk menegur" itulah pandangan seorang pasangan yang inginkan kesempurnaan dalam hidupnya. Mungkin perlakuan pasangannya memberi kesan dalam kelancaran hidupnya hari itu, mungkin juga ia bersangkutan dengan pengalamannya hari itu yang tidak beberapa lancar maka pasangannya menjadi ''turning point' sebagai suiz kemarahannya ataupun dalam bahasa baiknya ''keperihatinannya'. Mungkin masalah itu besar dan mungkin masalah itu hanya perkara remeh temeh. Terpulang kepada ''pandangan menyeluruh" pasangan itu bahawa permasalahan itu sangat besar baginya.
Berbalik kepada ciri-ciri lelaki idaman 1 iaitu topik yang ingin dikupas adalah "Terima seadanya" bermaksud seorang suami itu perlulah menerima kelemahan isterinya seadanya. Mungkin isterinya pada mula-mula bercinta dulu kelihatan seperti seorang yang optimis tetapi setelah lama berkahwin barulah suami itu tahu bahawa isterinya seorang yang "sangat sensetif". Mungkin dia tidak sedar semasa bercinta dahulu bahawa bakal isterinya itu seorang yang sensetif kerana bakal isterinya menyorokkan sifat sensetifitinya itu ataupun dia memang seorang yang sensetif tetapi pada bahagian atau isu tersebut tidak pernah disentuh oleh boyfriendnya maka tidak terserlahlah sifat sensetifnya itu. Apabila sudah berumahtangga barulah suaminya tahu bahawa isterinya sangat sensetif orangnya.
Begitu juga dengan seorang isteri yang sebelum berkahwin dengan boyfriendnya kelihatan sangat berkaliber, kuat, wangi dan stabil tetapi bila sudah berumahtangga barulah disedarinya bahawa suaminya seorang yang panas baran, lemah, kuat kentut dan ekonominya tidak stabil. Maka berlakulah ketidakpuasan hati yang boleh menyebabkan runtuhnya rumahtangga tersebut.
Kepentingan konsep"terima seadanya" perlu ada dalam hidup pasangan suami isteri itu. Bukan bermaksud kelemahan itu tidak perlu diperbaiki. Kita perlu memberitahu pasangan kita kelemahannya dan menjadi satu tanggungjawab pasangan memperbaiki masalah itu dari hari kesehari. Jika masih berlarutan terimalah seadanya pasangan itu. Nilai-nilai positif perlu disemai dalam hati setiap pasangan. Doa semoga perubahan pasangan dari lemahnya kepada kuatnya. Bersabar dan lihatlah dari sudut yang putih dan kebaikannya yang lebih banyak. Insya Allah akan berubah juga dia.
Paling penting, ajaran islam perlu diamalkan. Maksud saya, suami sebagai pemimpin dalam keluarganya perlu dahulu menunjukkan contoh yang baik kepada isterinya.
Rasullullah s.a.w bersabda, "Didiklah isterimu dengan memberi nasihat dan tunjuk ajar. Jika degil pisahkan tempat tidur dan jika degil lagi, pukullah dia (pukulan yang bukan mendera). Didik isterimu dengan perasaan kasih sayang tanpa perasaan jemu walaupun mengambl masa yang panjang. Tegas dalam melayan kehendak isteri dengan tidak melanggar batas-batas syariat. Apabila berdepan dengan karenah isteri, suami hendaklah sentiasa kreatif, bijak dan sabar semasa bertindak.
Seeloknya ketika isteri sedang marah-marah, berleter, lebih baik suami berdiam diri dahulu. Marah jangan dihadapi dengan marah. Tetapi diam bukan bererti mengalah, hanya sebagai strategi. Setelah perasaan marahnya reda suami boleh menjelaskan perkara sebenar atau meminta maaf jika suami bersalah.
Pada suatu hari saidina Omar pernah dimarahi isterinya tetapi dia hanya berdiam diri sahaja. Sahabatnya bertanya kenapa begitu. Jawab saidina Omar, isteriku telah melayan nafsuku, melahirkan zuriat serta mengasuh anak-anakku, membasuh pakaianku, menjaga rumah dan hartaku.
Rasullullah s.a.w bersabda yang maksudnya, "Suami yang jelek ialah pada siang hari bergaduh dan memukul isterinya tetapi pada malam hari menyetubuhinya".
Dato Rahim Razali menegaskan "Isteri itu anugerah" dan amanah Allah. Setiap isteri ada kelemahanya dan ada kelebihannya begitu juga dengan lelaki. Ia lebih bersifat saling melengkapi. Oleh sebab itu, pasangan perlu menerima pasangannya seadanya! Mungkin kerana kelemahan itulah suami itu berkahwin dengannya agar menjadi pelengkap hidupnya. Sekiranya terdapat kelemahan pada isteri atau suami berbincanglah secara berhikmah tanpa menyakiti hati pasangannya itu. Mungkin mengambil masa yang panjang untuk mengubah tabiat atau karenah isteri/suami namun setiap pasangan itu pasti tersemai dalam hatinya untuk menjadi yang terbaik buat pasangannya.
Oleh itu, kepada hal remeh temeh "masak lupa letak belacan" itu maafkanlah... mungkin hari ini dia lupa dan membangkitkan kesedaran kita "hari ini dia lupa letak belacan" tetapi hari-hari dia tidak lupa "masak dengan belacan" kadang-kadang kita terlupa untuk sedar bahawa "hari ini seperti biasa dia letak belacan". Terimalah seadanya!
Wallahhulam...