Itu saya

Itu saya
Aku sayang negaraku. Tanah air ku. Agamaku. Bangsaku & keluargaku.

Mari faham isi AL-QURAN..

Mari sama-sama kita dengar tafsir AL-QURAN semoga hati kita lembut dan dapat hidaya

CLICK |> FOR THE NEXT SURAH.

Tuesday, July 11, 2017

Beza Ujian dan Masalah

Beberapa bulan lalu, aku begitu teruji dengan kehidupan.  Sehinggalah hari ini,  aku dapati pengalaman ini mengajar aku.  Apakah itu ujian dan Apakah itu masalah?

Secara pengalamannya, aku dapati ujian ialah sesuatu perkara yang kita kena hadapi bukan selalu.  Masalah pula adalah perkara yang kita hadapi setiap hari, cuma berbeza dari segi penakrifan isu dan penyelesaian.

Surah Al-Baqarah:  ayat 155

Ujian

Ujian besar dan ujian kecil

Ujian terdiri daripada ujian besar dan ujian kecil.  Ujian besar ialah suatu ujian yang kita tidak mampu untuk tangani sendirian.  Ujian besar memerlukan kita bersifat sangat sabar kerana biasanya ujian besar ini membawa kita dalam keadaan tertekan sehingga kita tak mampu untuk menanggungnya.  Ujian besar kadang kala membawa fikiran kita ke arah kesongsangan di mana kita boleh berfikir "Jika aku mati.  Segala masalah ini akan selesai".  Padahal ujian besar, tidak akan selesai selepas kita mati.  (Dimana, kematian yang disebutkan itu lebih sifatnya kepada bunuh diri.  Sesungguhnya orang yang membunuh dirinya sendiri itu adalah kafir.  Di mana tempatnya adalah neraka kerana mereka orang-orang yang berputus asa dengan rahmat Allah.).  Ujian besar ini biasanya sesuatu yang kita tak mampu untuk mengawalnya.  Sama ada dikawal oleh keadaan atau dikawal oleh orang lain.  Jadi mahu atau tidak mahu kita terpaksa memikul apa yang mendatang.   Contoh ujian besar ini seperti:  Kita mendapat tahu bahawa kita menghidapi kanser.  Kita berada dalam situasi peperangan.  Kita mendapat anak cacat.  Kita tiada anak setelah bertahun mencuba.  Kita jatuh muflis.  Kita diberhentikan kerja setelah bertahun bekerja.  Pasangan kita meninggal dunia.  Kematian mengejut, malapetaka.

Ujian kecil ini sifatnya lebih cepat.  Ia berlaku dalam satu kitaran masa yang tidak panjang.  Tetapi bila datangnya ujian kecil ini kita tak mampu untuk menolaknya.  Kita tak mampu untuk mengawalnya.  Ujian kecil ini biasanya disertai dengan masalah yang perlu diselesaikan.  Selagi kita tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut kita masih ditahap yang sama dan beban itu tetap dalam tanggungan kita.  Beban tersebut akan menghantui hidup kita sehari-hari sehinggalah kita menyelesaikannya.  Beban tersebut akan membuatkan kita menjadi tidak sabar, pemarah, penat, sakit, tidak terurus dan membawa kita kepada masalah psikologi yang boleh menyebabkan kita bertindak diluar batasan.  Contoh ujian kecil itu:  menghadapi peperiksaan, di buli, pasangan curang, perniagaan merosot, kemiskinan, kecelakaan, eksiden dan macam-macam lagi.

Lebih matang

Ujian membawa kita lebih matang.  Apabila kita diuji ia menjadikan kita lebih matang.  Sesungguhnya Allah tidak menguji seseorang itu perkara yang tidak mampu untuk dia tanggung.  Fikirkan semula, sejak kita dalam usia kanak-kanak, kita menanggung ujian yang seiring dengan usia kita.  Menyebabkan kita lebih matang.  Kebanyakkan ujian yang kita hadapi, kita akan rujuk kepada orang tua atau teman kerana mereka telah melalui perkara tersebut.  Jarang kita hadap ujian kita akan bertanya kepada anak kita.  Kerana mereka belum mampu untuk menyerap dan pentafsir kompleksiti kehidupan.  Namun hari ini kebanyakkan ibubapa memindahkan kompleksiti kehidupan itu juga oleh anak-anak.  Kesan pemindahan ini menyebabkan anak-anak lebih cepat matang dalam masa yang sama membentuk mereka menjadi manusia yang TIDAK mempunyai kestabilan emosi.  Perkara ini jika berlanjutan maka kehidupan masa depan anak-anak terjejas kerana mereka telah menyerap energi tidak baik dari ibubapa.  Apabila ujian datang dan kita dapat menyelesaikan masalah maka dengan sendirinya menjadikan kita lebih matang.  contohnya:  Kita diuji dengan pasangan yang curang.  Pasangan curang adalah ujian kecil dimana kita perlu fokus untuk menyelesaikan masalah.  Pertamanya jika ia melibatkan perkahwinan dan anak-anak.  Kita perlu menyelidik apakah punca sebenar pasangan curang?  Adakah disebabkan oleh kita yang tidak peka terhadap perkahwinan atau pasangan kita yang memilih untuk curang?  Adakah disebabkan oleh campurtangan orang ketiga.  Siapa pula yang menjadi batu api? Adakah isu itu benar atau direka untuk memecahbelahkan perkahwinan?  Cari penyelesaian, option atau pilihan.  Perkara tersebut diselesaikan antara pasangan dan tidak perlu melibatkan anak-anak.  Tidak perlu memukul anak-anak kerana mereka juga mangsa keadaan. Apabila masalah diselesaikan, perkahwinan diteruskan atau perkahwinan dibatalkan maka siri ujian pun telah tamat dengan selesainya masalah.  Kita akan lebih matang untuk memilih pasangan selepas itu.. atau kita akan lebih matang untuk memastikan pasangan kita tidak lagi melakukan perkara yang sama... atau kita lebih matang untuk menghadapi kecurangan pasangan sekali lagi.


Ujian bukan perkara yang selalu berlaku

Ujian adalah perkara yang bukan hari-hari terpaksa kita hadapi kecuali kita menghadapi ujian besar.  Jika kita menghadapi ujian besar, kita memikul beban berhari-hari sehingga perkara tersebut selesai dengan sendirinya atau tidak akan selesai sehingga keakhir hayat kita.  

Jika ujian kecil maka biasanya ia berlaku pada satu ketika dan dia akan ada akhiran.  Selepas akhiran kita akan dapati hidup lebih mudah, lebih selesa dan bersyukur.  Tempoh masa akhiran sesuatu ujian kecil itu tidak dapat dinyatakan.  Lama tempoh itu teletak kepada bagaimana kita menyelesaikan masalah.  Sekiranya tidak habis masalah, kita membawa masalah yang lebih besar maka tempohnya pasti lebih lama berbanding dengan kita fokus untuk menyelesaikan satu-satu masalah.  Kadang-kadang ujian kecil boleh membawa kepada ujian besar kerana kebodohan kita.  Contohnya:  Pasangan kita curang, maka penyelesaian masalah yang kita buat adalah membunuh pasangan kita atau orang ketiga.  Maka kita ditangkap kerana membunuh.  kalau kita menyelesaikannya sama ada kita memaafkan atau kita berpisah.  Mungkin ia menjadi ujian kecil namun jika kita salah membuat penyelesaian maka ia menjadi ujian besar.  

Kerana ujian bukan perkara yang selalu berlaku.  Jika kita mampu mengatasi ujian, maka ia akan terus berakhir dengan baik, jika tidak, ia akan berterusan.

Dilihat sebagai entiti yang besar

Setiap ujian itu pastinya dilihat sebagai satu entiti yang besar oleh setiap individu.  Setiap individu mempunyai pengalaman berbeza dalam menempuh ujian.  Kadang-kadang ujian bagi seseorang itu kelihatan kecil bagi sesetengah individu tetapi besar bagi sesetengah individu yang lain.  Biasanya ujian akan kelihatan kecil bagi individu yang mempunyai pengalaman menghadapinya.  Individu yang mempunyai pengalaman akan melihatnya kecil kerana mengetahui bahawa ia mempunyai pengakhiran manakala bagi individu yang pertama kali menghadapi ujian akan melihatnya sangat besar sehingga tidak mampu ditanggung.  Sesetengah individu lain yang menghadapi ujian dalam tempoh masa yang panjang melihat ujian orang lain yang baru menghadapinya sebagai mudah tetapi bagi individu yang baru menghadapi perkara tersebut akan melihatnya dalam lingkungan ujian yang sangat besar dan terlalu besar sehingga tidak tertanggung.
contohnya:  Seorang perempuan yang usia perkahwinannya mencecah 2 tahun akan mendapati dirinya dalam keadaan sangat bersedih dan stress kerana tidak mempunyai anak berbanding seorang perempuan yang usia perkahwinannya mencecah 12 tahun yang masih tidak mempunyai anak.


Membawa hasil perubahan yang besar

Dalam bentuk ujian, pasti akan membawa perubahan yang besar.  Sama ada ujian kecil atau ujian besar.  Contohnya:  Seorang ibu mendapati anaknya tidak lagi normal akibat eksiden.  Maka dia terpaksa setiap hari memberi bantuan kepada anaknya.  Itu satu perubahan yang besar terpaksa dilakukan.  Contoh berikutnya:  Seorang isteri mengambil keputusan untuk bercerai setelah tidak mampu menghadapi kecurangan suaminya.  Maka perubahan yang dihadapinya, ialah dia tidak lagi bergantung dengan suaminya.  Dia terpaksa berdikari, bekerja dan mengurus segala keperluannya dan anak-anak secara sendirian.  Contoh lain:  Seorang lelaki yang diberhentikan pekerjaan sebagai seorang juruteknik elektrik, ia terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menanggung anak isteri.  Akhirnya dia membuat keputusan untuk berniaga burger di hadapan rumahnya.  Perniagaannya semakin maju dari sebuah gerai kosong kepada gerai yang mempunyai kerusi meja untuk makan. Dia tidak lagi outstation untuk menyelesaikan projek, tetapi sentiasa ada di gerainya depan rumah.


Sesuatu yang tidak tertanggung

Ujian biiasanya adalah sesuatu yang tidak tertanggung.  Ia merupakan beban yang memainkan emosi dan fizikal kita untuk terus hidup.  Ujian mungkin membuatkan kita terpaksa mengadap sesuatu yang rutin bagi setiap orang.  Ujian adalah sesuatu yang berbeza dari kebiasaan beban.  Contohnya:  Setiap hari kita sebagai guru memberi pendidikan kepada anak didik kita.  Satu hari seorang anak didik kita melakukan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan kita sebagai guru memberi hukuman sebagai bentuk pengajaran kepada anak didik tersebut.  Namun, tindakkan kita itu membawa kita ke satu dimensi lain yang mana niat untuk mendidik itu disalahertikan oleh netizen sebagai zalim.  Dari satu isu kepada satu isu yang lain sehingga kita dipanggil oleh pihak kementerian untuk diminta memberikan penjelasan dan kata dua.  Pertamanya, ia melibatkan maruah kita sebagai pendidik dan keduanya ia melibatkan rezeki mata pencarian kita dan yang ketiganya, ia cukup memalukan kita dihadapan masyarakat umum.  Perasaan itu menyebabkan kita rasa tidak tertanggung dan berharap perkara tersebut cepat berakhir.  Kita tidak mampu lagi menanggung cemuhan netizen dan ditangkap kerana didakwa bersalah.  Kita rasa mahu mati untuk menhadapi semua ini.  Kita mahu masuk dalam kotak ditutup rapat dan dibuang di sebuah pulau tak berpenghuni.  Biarlah kita bersendirian dari kita dimalukan... ianya adalah sesuatu yang tidak tertanggung.

Keadaan menentukan 

Ujian ada masanya berlaku secara paksaan atau keadaan yang menentukan, kita tidak mempunyai option untuk menyelesaikannya kecuali terus mengharungi.  Nak atau tidak kita terpaksa untuk menghadapi perkara tersebut apatah lagi kita tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan walaupun penyelesaian kepada perubahan itu ada.  Contohnya:   Banjir telah berlaku disatu kawasan.  Maka semua penduduk disitu terpaksa dipindahkan disebuah sekolah terdekat.  Malangnya sekolah disitu terputus pula hubungan dengan dunia luar akibat jambatan telah runtuh.  Maka mereka terpaksa bercatu makanan dan semua keperluan.  Hanya harapan untuk hujan berhenti dan air surut sahaja mampu memberi sinar semula.

Ada juga keadaan dimana ujian itu berlaku atas pilihan yang dibuat contohnya: seorang isteri terpaksa tinggal bersama keluarga mertuanya.  Apabila dipinta kepada suami untuk berpindah, permintaan itu tidak dilayan oleh suami.  Apatah pula ibu mertua cerewet dan sebenarnya tidak menyukai si isteri kerana dia mempunyai pilihan menantu sendiri untuk anaknya.  Maka dalam keadaan itu, isteri tiada pilihan lain sama ada untuk terus bersama suami mengharungi getir maung atau keluar dari situasi tersebut atau dia berjaya memujuk suami atau mak mertua dia insaf.

Ujian akan berakhir setelah kita mendapat sesuatu ataupun kita kehilangan sesuatu.  
Kebanyakkan situasi ini adalah melibatkan ujian kecil.  Apabila berlaku sesuatu barulah ujian akan berakhir.  Contohnya:  Setelah sekian lama berhabisan, akhirnya suami mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji yang sepatutnya.  Atau setelah dia menghembuskan nafas yang terakhir maka berakhirlah penderitaannya menentang penyakit tersebut.


Ujian adalah sesuatu yang datang dari Allah untuk menaikan taraf ketakwaaan kita.

Bila diuji sebenarnya kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah.  Perasan atau tidak semakin lama terasa ujian yang menimpa kita semakin sukar.  Kecuali kita dengan perasaan reda, bersabar, berdoa, bersyukur, bertawakal dan bersolat kepada Allah apabila diuji hati kita menjadi tenang.  Sebenarnya ujian membawa kita merendah diri kepada Allah.  Setiap kali diuji, kita akan mengingati Allah dan menjadikan kita insan yang lebih bertakwa.  Namun jika kita mengikuti bisikan syaitan dan buian iblis maka kita akan menajadi lagi tidak tenteram, lagi sakit hati dan lagi merosakkan diri.  Contohnya:  Apabila kita menghadapi ujian, kita ego - kita tidak mahu bersolat.  Syaitan membisikkan kenapa kita perlu solat sebab Allah tidak sayangkan kita.. Allah bagi kita kesusahan, Allah bagi kita sakit hati, Allah bagi kita kepayahan dan Allah bagi kita kesesakkan ini... dia yang bagi!!  Kenapa kita?!!  Kenapa bukan orang lain?!!  Sial!!  Jadi kenapa aku perlu solat??!!  Sedangkan apabila kita mengambil wuduk, merendahkan ego kita denga sujud kepada Allah maka hati kita akan menjadi semakin tenang.  Kita menangis, kita mengadu kepada Allah dan kita minta kepada Allah agar dibukakan jalan untuk mengatasi ujian yang berlaku... kerana tiada kita mempunyai kuasa untuk merubah keadaan kecuali dengan IzinNya.  Apabila hati tenteram  maka fikiran kita menjadi betul, kita dapat membuat keputusan yang tepat dan dapat menyelesaikan masalah yang mendatang dengan lebih bertawakal.  Jadi kepada pembaca yang apabila dia dirundung penyakit hati ketika menghadapi masalah.. Perangi sifat syaitan sama ada berputus asa atau ego maka tundukkan kepala kepada Allah.



Masalah


Masalah adalah sesuatu yang kita harus selesaikan.  Ia adalah beban yang boleh diselesaikan dengan kaedah, metodologi dan analisis terhadap masalah.  Dalam internet terdapat pelbagai kaedah untuk penyelesaian masalah mengikut isu yang dihadapi.  Jika ia melibatkan pekerjaan, mungkin ada cara seperti Metodologi Waterfall boleh digunakan atau lain-lain methodologi yang banyak boleh dipelajari.  Jika ia melibatkan kehidupan maka pakar-pakar kaunseling, coaching diperlukan untuk membantu dalam menyelesaikan masalah.  Sebenarnya antara ujian dengan masalah.  Masalah lebih mudah untuk diselesaikan.

Waterfall methodology

Masalah besar dan masalah kecil

Masalah kecil melibatkan perkara-perkara remeh.  Ia juga mungkin melibatkan perkara rutin dan mungkin melibatkan perkara-perkara yang jarang diperlukan.  Contohnya:  Bos memberi kerja seharian atau anak tidak suka bangun pagi untuk ke sekolah.  Contoh perkara yang jarang diperlukan adalah seperti mencari tempat untuk pergi bercuti bersama keluarga atau tayar pancit.

masalah besar melibatkan perkara-perkara yang mustahak sama ada perlu diselesaikan segera atau terpaksa mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah.  Biasanya masalah itu timbul secara tidak sengaja atau pun tiba-tiba.  Ada pula sesetengah masalah besar asalnya dari masalah kecil yang tidak diselesaikan.  Contoh masalah besar secara tiba-tiba:  Dirompak, Demam panas, kemalangan. Manakala masalah besar yang datang berpunca dari masaah kecil yang tidak diselesaikan seperti pergaduhan, isu harta pusaka, hutang piutang, sengketa ipar duai.

Kecekapan Penyelesaian

Masalah membawa kita lebih cekap mencari penyelesaian.  Jika masalah itu adalah rutin maka tidak menjadi masalah untuk kita menyelesaikannya sepantas mungkin kerana laluan prosedur telah diwujudkan.  Contohnya:  Masalah pendaftaran anak kesekolah - ia menjadi rutin ibubapa, jadi satu sistem telah diwujudkan untuk menghadapi masalah tersebut.
Masalah yang bukan rutin tetapi selalu dihadapi juga dapat diselesaikan, contohnya trafik waktu puncak.  Maka penyelesaiannya adalah membuat keputusan mengikuti jalan-jalan alternatif yang diwujudkan oleh kerajaan.  
Masalah yang jarang-jarang berlaku contohnya tertinggal dokumen penting di rumah setibanya dipejabat sedang mesyuarat akan berlangsung lagi beberapa minit.  apakah penyelesaiannya?
Masalah yang menjadi rutin contohnya kencing tak mahu flush.  Selalu berhabis masa dengan kawan-kawan dsbg.

Masalah sebagai rutin harian

Masalah adalah sesuatu yang berkait dengan perlakuan kita sehari-hari.  Masalah kita selesaikan hari-hari sama ada masalah itu hari-hari yang sama atau masalah yang sama berhari-hari.  Apabila masalah menjadi rutin seelokknya penyelesaian masalah adalah dalam bentuk sistem yang lebih efisyen.  Apabila masalah untuk kerap berlaku maka perlu diadakan prosedur untuk membendungnya dari berlaku.  Apabila masalah itu jarang berlaku dan tidak perlu berlaku maka perlu diadakan polisi atau undang-undang agar ia tidak berlaku. 

Membawa kesan yang besar jika penyelesaian yang cekap

Masalah terdiri daripada dua perkara.  Iaitu masalah yang spontan yang mana penyelesaiannya adalah kepuasan dan masalah yang kedua adalah masalah yang membawa hasil yang banyak.  Contoh masalah spontan adalah ketika mengambil makanan baru perasan yang tidak ada tempat untuk duduk makan kerana secara tiba-tiba semua meja telah penuh.  Masalah yang membawa hasil adalah terpaksa menyelesaikan masalah dan apabila masalah itu selesai kita mendapat bayaran contohnya membuat projek untuk sesuatu syarikat atau hasil dari penyelesaian masalah itu, pasangan itu dapat berkahwin... contohnyerr.. 

Sesuatu yang kita boleh selesaikan menggunakan kaedah yang betul, namun jika salah kaedah yang digunakan boleh membawa masalah yang lebih besar.  Misalnya, seekor kucing ni dia suka berak dekat laman kita.  Disebabkan kita geram, puncanya dilihat adalah kucing.  Jadi kita racun kucing tu.  Betul... masalah kita selesai.  Kucing itu mati dan dia tak berak lagi.  Namun, cara tersebut telah menyebabkan perselisihan dengan jiran yang membela kucing tersebut.  Cara tersebut telah menyebabkan diakhirat kelak kucing tersebut mencari kita sebagai orang yang zalim.  

Penyelesaian masalah

Masalah selesai setelah kita kita selesaikan masalah atau kita hindari masalah mengikut option atau pilihan kita.  Penyelesaian ada banyak cara.  Ada cara kita perlu selesaikan masalah.  Ada cara kita perlu mengalah dengan masalah dan ada cara kita perlu elak dari melakukan masalah.  Contoh cara kita selesaikan masalah bila masalah itu telah muncul.  maka kita kena selesaikan.  Kena lihat juga adalah masalah itu rutin, kerap atau jarang berlaku.  Adakah masalah itu besar atau masalah kecil, adakah masalah itu membawa kesan yang besar atau tidak memberi kesan dasn banyak lagi seperti yang saya nyatakan diatas.  Gunakan kaedah atau metodologi yang betul dalam menyelesaikan masalah agar masalah tidak menjadi bertambah besar.

Mengalah juga adalah cara menyelesaikan masalah.  Walaupun masalah kadang kala bukanlah dari kita, apabila kita mengalah maka ia tidak mengeruhkan keadaan ada baiknya kita mengalah.  Jangan sifat ego kita mengatasi segalanya.  Kita melihat pada pandangan orang lain yang salah.  Orang lain yang selalu cari salah kita.  Mengalah bukan tanda kalah.  Mungkin kita rugi sikit dari rugi banyak.

Elak dari melakukan masalah juga merupakan penyelesaian masalah.  Kita ini manusia yang mempunyai otak yang dianugerahkan Allah akal fikiran berbanding dengan binatang.  Apabila kita berada dalam situasi yang kita dapat analisa bahawa ia boleh mendatangkan masalah pada kita satu hari nanti maka kita perlu elak dari terus mendekati masalah.  Kadang-kadang kita telah pun berada dalam kancah masalah tetapi apabila kita tersedar dan belum terlewat untuk keluar dari masalah maka elaklah dari terus dalam masalah tersebut.  Contohnya:  Seorang lelaki sudah berkahwin dia bersimpati dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya.  Empati tersebut membawanya lalai terhadap perkahwinannya.  Sekiranya dia tersedar sepatutnya dia terus memutuskan hubungan empati untuk mengelak masalah bukan terus menjadi berpanjangan fitnah.  ataupun Dia empati terhadapnya lalu bagi mengelakkan masalah, dia menggunakan saluran yang betul seperti memberikan bantuan itu menerusi isterinya.  


Bila ditimpa masalah - bersabar, berfikir dan menyelesaikan masalah.  Masalah membawa kita berfikir.  Masalah sebenarnya menjadikan kita matang secara beransur-ansur berbeza dengan ujian menjadikan kita matang  secara terus.


Ujian dan Masalah datang serentak

Biasanya ujian dan masalah datang secara serentak. Kita hendaklah menyelesaikan masalah dan bertawakal kepada Allah.  Sentiasa berharap agar kita tidak membawa masalah yang lebih besar ketika berlaku ujian.  Kita perlu berfikiran secara positif dalam menghadapi ujian dan masalah.  Penting bagi kita untuk berfikir dengan mengadaptasi pemikiran kritis iaitu menggunakan kaedah yang betul dalam menyelesaikan masalah.
 Menggunakan strategi dalam menghadapi ujian dan masalah.  Selain itu perlu bagi kita untuk mendapatkan pendapat dari pakar dan mencari pilihan penyelesaian terbaik untuk kita dan orang disekeliling kita.  Jika perlu mendapatkan bantuan pakar terapi jangan malu.  Dan yang penting adalah tunduk kepada Allah dengan melakukan solat-solat sunat seperti Solat Tahajjud, Solat Taubat, Solat hajat, Solat istiqarah.  Kemudian selesaikan masalah yang wujud.  Akhir sekali bertawakal kepada Allah tentang apa-apa keputusan yang kita pilih.


Yang paling penting dalam hidup kita ini ialah jangan sekali-kali meninggalkan solat.  Solat itu punca ketenangan, ketenangan itu yang membawa kita ke jalan yang lurus iaitu jalan yang mampu kita selesaikan masalah dengan cara yang terbaik dan jalan kita terus bertawakal dan merendah diri kepada Allah.  Apabila kita buat salah dengan manusia, rendahkanlah ego kita untuk memohon maaf miskipun perkara tersebut bukanlah kita yang mulakan.  Sesungguhnya ego itu adalah sifat syaitan, sebagaimana syaitan tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam.  Kurangkan keegoan dan tunduk kepada Allah.

Semoga bermanfaat.