Itu saya

Itu saya
Aku sayang negaraku. Tanah air ku. Agamaku. Bangsaku & keluargaku.

Mari faham isi AL-QURAN..

Mari sama-sama kita dengar tafsir AL-QURAN semoga hati kita lembut dan dapat hidaya

CLICK |> FOR THE NEXT SURAH.

Wednesday, March 3, 2010

Mengapa aku menerima ujian sehebat ini?!!






"MENGAPA AKU MENERIMA UJIAN SEHEBAT INI?!!!" satu persoalan yang sering dilontarkan kepada insan-insan yang tidak dapat menahan perasaan apabila berlaku musibah kepada dirinya. Sehebat mana manusia itu, tidak lepas dari dugaan dan ujian Allah kepada mereka. "Lagi beriman seseorang itu, lagi hebat dugaan dan ujiannya.. " itulah satu ungkapan yang aku dengar lama dahulu.. Kenapa? Kenapa lebih hebat ujian yang datang padaku? Sesungguhnya.. itulah kasih sayang tuhan kepada kita. "Sayang? Sayang apekebendanya? Aku susah hati, sakit jiwa.. Dia sayang?.." apa yang kita tahu tentang sayang? Kenapa tuhan menyayangi kita lalu menguji kita? Bukankah lebih baik dia limpahkan sahaja kemewahan, kesihatan dan kebahagiaan kepada kita sebagai tanda sayang? Kenapa kita diuji?

Kerana dengan cara itulah dapat kita lihat keimanan kita kepada Allah.. Sesungguhnya sabar itu separuh dari iman. Iman? Apa itu iman? Iman bermaksud tasdiq (membenarkan), iaitu mempercayai dan yakin dalam hati, berikrar dengan lisan dan beramal dengan ajaran-ajaran Allah s.w.t yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W .
Rasullullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Iman ialah mengiktiqadkan dengan yakin di dalam hati, berikrar dengan lidah serta mengerjakan dengan anggota badan."

(Riwayat Muslim)

Bagaimana kita boleh beriman jika ujian sehebat ini berlaku kepada kita? Kita perlu yakin kepada Qadaq dan Qadar Allah. Semuanya adalah ketentuannya, kita perlu berdoa, beristifar dan bertenang dengan segala yang berlaku dan melakukan solat sunat, solat hajat untuk menghindarkan diri kita dari bisikan-bisikan syaitan yang menyesatkan.
Apa itu Qadaq dan Qadar Allah? Apa jua yang berlaku di dalam alam ini, pada diri sendiri sama ada disukai atau tidak, baik atau buruk, sengaja atau tidak, sedar ataupun tanpa disedari, sihat atau sakit, berjaya ataupun gagal semuanya sudah ada ketentuannya dari Allah.





Sabda Rasullullah yang bermaksud:

"Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia beriman dan mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasullullah dan dia beriman dengan hari akhirat dan dia beriman dengan qadar Allah sama ada baik atau buruk, manis atau pahit."

Keimanan yang yakin tanpa ragu-ragu kepada qada dan qadar Allah s.w.t memainkan peranan memantapkan aqidah muslim. Oleh sebab itu, jika berlakunya ujian kepada kita hendaklah kita insaf dan kembali kepada Allah.

KESEDIHAN MELAMPAU

Aku sendiri pernah mengalami kesedihan melampau.. ujian yang Allah berikan memang menguji keimanan aku. Aku pernah tertanya-tanya mengapa aku yang dipilih untuk menerima ujian seberat ini? Bagaimana aku mampu menampung beban yang semakin hari semakin menyesakkan dadaku. Aku menangis dan seperti manusia normal aku kalah dengan emosi aku sendiri. Aku menyendiri, aku tidak peduli persekitaran, aku berada dalam duniaku. Aku lemas dalam lautan yang tercipta untukku. Aku pasrah...

Hampir berkali-kali aku terjerumus dalam kesedihan melampau. Namun, apa yang aku ingin nyatakan adalah semua yang menyebabkan kita terasa lemah, sedih dan bersangka buruk dengan Allah adalah kelemahan kita sendiri. Setiap kali aku jatuh kelembah sedih melampau aku terus bangkit semula. Aku perlu menyedarkan diri aku sendiri bahawa semua yang berlaku kepadaku adalah qada dan qadar Allah. Bacalah ayat ini:

ALLAH TIDAK MEMBERATI SESEORANG MELAINKAN APA YANG TERDAYA OLEHNYA. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

(Surah Al-Baqarah: ayat 286)


Sesungguhnya ujian yang Allah berikan kepada setiap makluknya itu adalah ujian yang dia mampu hadapinya. Cuma pemikiran kita, minda kita telah dikacau oleh syaitan dan nafsu sendiri untuk bersangka buruk dengan Allah. Pemikiran kita yang menyatakan bahawa "Allah tidak sayangkan kita","Kita adalah hambanya yang tersisih", "Doa kita tidak dimakbulkan kerana Allah kejam".

KENAPA KITA DIUJI?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut:ayat 2-3 )

Allah menguji kita dengan pelbagai bentuk. Kehilangan harta benda, Kematian ibu bapa, anak, suami dan orang-orang yang kita sayangi, kesakitan, ancaman, bencana dan sesuatu yang kita inginkan.. juga sebagai ujian.. misalnya kita mengidamkan seorang anak... dari tahun ke tahun.. masih belum berhasil. Kakak kita sudah bertambah anak, sepupu kita yang kawin kemudian dari kita pun sudah beranak.. ipar kita sudah pun beranak,.. orang kampung asyik dok tanya.. emak asyik dok tanya.. sudah pelbagai rawatan pergi, berubat tradisional pun sudah.. habis semua ikhtiar kita... belum juga dapat anak..


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah: ayat 216)

Jika kita lahirkan anak pada masa itu, mungkin kita tidak mampu dari segi kewangan.. tak ada rumah lagi.. dsbg.. kita akan mengabaikan anak kita sedangkan setiap kali solat kita akan minta anak yang soleh. Mungkin kita sendiri belum lagi mencapai tahap "soleh" itu maka Allah tidak memberi kita anak takut-takut anak kita menjadi beban kita diakhirat nanti.

MENGHADAPI UJIAN ALLAH


Aku ada seorang kawan, ibunya baru sahaja meninggal dunia. Pula bapanya sudah lama meninggal dunia. Dia mengadu bahawa hidupnya sentiasa dirundung malang. Baginya tiada hari bahagia. Dia seolah-olah mengalami kesedihan melampau. Dia kaitkan semua kedukaan hidupnya.. lalu dia lemas dalam dunianya sendiri.

Lalu aku bertanya, Tidak adakah dalam hidup kau pada hari itu engkau tersenyum dan gembira? Tidak adakah hari dalam hidupmu engkau rasa bahagia walaupun sesaat? Pada masa dia bernikah bukankah saat paling manis dalam hidupmu? Pada saat teman-temanmu bergurau senda bukankah saat yang paling manis? Bukankah engkau masih dapat kebahagiaan? Kataku lagi... Hidup kita ini seperti roda.. kita bahagia bila berada diatas.. dan kita berduka bila kita dibawah... Terimalah ini sebagai ujian Allah.. janganlah engkau menambah-nambah hal-hal kesedihan dahulu, sedangkan engkau pernah merasa bahagia dan bersangka buruk dengan Allah.. siapakah yang akan bertanggungjawab atas sangka burukmu itu?

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran: ayat 139 )


Sesungguhnya apabila kita menerima ujian Allah dan kita sabar menerima segalanya dengan reda. Insya Allah, makin berimanlah kita kepada Allah. Makin kuat kita berjaya menempuh ujian itu.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

(Surah Al-Imran: ayat 200)


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
(Surah Al-Baqarah: ayat 45)



BERAMAL BAGI MENINGKATKAN IMAN DI DADA
Hati kita cenderung menyalahkan takdir, menyalahkan orang disekeliling kita dan menyalahkan diri kita sendiri atas apa yang berlaku. Lebih teruk lagi, ada yang menyalahkan Allah kerana kegagalan, kelemahan dan kesedihan dihati kita. Pada tahap itu, ketahuilah bahawa iman kita benar-benar rapuh dan mudah untuk kita menjadi murtad. Sesungguhnya orang-orang murtad itu tempatnya di neraka dan di dunia lagi hukumnya adalah bunuh. Mahukah kita menjadi manusia yang murtad? Manusia yang derhaka kepada Allah? Nauzubillah..


Cepat-cepat kita sedarkan diri kita. Kita adalah Hamba Allah... Tujuan kita di dunia ini adalah sebagai khalifah yang mentadbir bumi ini dan beribadat kepada Allah. Yang telah meninggal dunia itu, telah tamat tempoh perjanjiannya dengan Allah maka tidak ada baginya lagi untuk beramal soleh. Tiada lagi ujian keimanan... baginya hanya menunggu keputusan.. dan yang hidup ini diuji terimalah ia dengan berlapang dada... ubatlah hati dengan reda, ubatlah jiwa dengan solat dan doa. Ubatlah diri dengan usaha. Ubatlah minda dengan tawakkal. Insya Allah.


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah: ayat 129)
Doa Nabi yusuf - DOA MENGHINDARKAN KESULITAN DAN KEPAYAHAN


Selagi ada hayat kita hendaklah kita berusaha menjadi apakah hak hidup kita di dunia ini. Kadang-kala kita terasa berputus asa dengan usaha yang tidak berhasil. Kita merasa begitu sebal dengan beban yang kita tanggung. Perasaan ini sebenarnya memusnahkan diri kita sendiri. Dan ingatlah...



"........ dan jangan kamu berputus asa dari rahmatAllah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah,melainkan kaum yang kafir." (Surah yusuf: ayat 87)


APAKAH YANG KITA PEROLEH DARI UJIAN INI?

Hati yang tenang. Musibah yang kita hadapi dengan tenang menjadikan kerja kita lebih mudah. Sekiranya kita melakukan kerja dengan emosi maka hasilnya tidak memberi manfaat yang baik pada diri dan orang lain.

Allah memberikan balasan pahala dan darjat yang tinggi di sisi-Nya. Insya Allah.

Hati yang gembira. Biarpun ujian melanda diri kita, hati kita tenang dan kita mampu gembira. Lebih-lebih lagi apabila ujian yang kita perolehi itu berjaya kita harungi. Misalnya, orang yang inginkan pekerjaan. Atas usahanya dan tawakalnya akhirnya ia memperolehi pekerjaan. Sesungguhnya saat itulah kegembiraan yang amat sangat. Tanpa duka kita tidak mengenal erti kegembiraan sebenarnya. Tanpa ujian kita tidak mampu menghargai apa yang kita ada selama ini.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah .............".

(Surah At-Taubah: ayat 111)

Buat pembaca dan diri saya sendiri. Bersabarlah menghadapi ujian Allah, jangan lupa solat 5 waktu, ikhtiarkan solat sunat hajat, bacalah al-Quran kerana membaca al-Quran mampu menenangkan hati... berusahalah dengan gigih dan semangat yang kental dan akhirnya bertawakallah kepada Allah.

Insya Allah....

Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu"
(Al-Fajr: 27-30)