Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding/pengalas/mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif. Lazimnya, keradangan berpunca daripada jangkitan bakteria helicobacter pylori (H. pylori) yang turut menjadi penyebab utama kepada kebanyakan ulser perut.
Keasidan Perut Punca Gastrik
Oleh Hanisah Selamat
SIMPTOM sakit atau senak perut tidak menjurus kepada gastrik semata-mata. Banyak penyakit lain yang membabitkan gejala sama tetapi punca berbeza seperti pedih ulu hati, batu dalam pundi hempedu, ulser perut serta radang pankreas. Sama ada individu terbabit diserang gastrik atau bukan, hanya dapat ditentukan selepas diagnosis.
Pakar Perunding Bedah Pengkhususan Gastrousus dan Laporososkopik Lanjutan, Dr Abdul Fahmi A Karim, berkata masyarakat masih kurang memahami petanda gastrik sebaliknya memberi tanggapan sebarang kesakitan ada perut terutama ketika berpuasa adalah gejala awal penyakit ini. Katanya, gastrik atau nama perubatannya, gastrisis merujuk kepada inflamasi (radang) pada bahagian lapisan perut (mukosa) tetapi masalah lazim ini turut digunakan bagi menerangkan pelbagai gejala yang disebabkan inflamasi itu termasuk pedih ulu hati atau ketidakselesaan perut.
"Sebelum menganggap diri diserang gastrik, individu harus mendapatkan pemeriksaan dan nasihat pakar bagi mengelakkan kemungkinan mereka menghidap penyakit lain yang lebih serius," katanya.
Walaupun lapisan mukosa sentiasa beralkali dan melindungi bahagian terbabit daripada dirosakkan bahan memudaratkan seperti alkohol, ubat aspirin, makanan berasid dan pedas serta asap rokok. Apabila lapisan ini semakin terhakis, ia tidak mampu menjalankan tugas dengan baik hingga menimbulkan radang.
"Sakit lebih dirasai apabila berpuasa disebabkan peningkatan tahap asid dalam perut berikutan ketiadaan makanan. Asid sedia ada yang membantu mencerna makanan berkumpul pada bahagian terbabit bersama asid yang erhasil secara semula jadi berdasarkan tindak balas kimia.
"Apabila keadaan itu berlaku ditambah ketiadaan pelindung mukosa, radang boleh berlaku tanpa mengira waktu. Selain pengambilan ubat dan emestian makan sahur bagi sumber tenaga, pesakit tidak digalakkan membayangkan keenakan makanan kerana imaginasi atau faktor psikologi ini
mampu meningkatkan lagi keasidan perut," katanya.
Penghasilan asid secara semula jadi boleh berlaku menerusi tiga fasa iaitu tindak balas kimia pada otak sebaik terbayang makanan, apabila makanan di dalam mulut serta ketika proses penghadaman. Sementara itu, jangkitan bakteria dikenali sebagai helicobacter pylori (H pylori) juga antara penyebab gastrik. Ia mampu bertahan dalam keadaan perut berasid, malah jangka hayatnya juga panjang. Dianggarkan sejumlah 74 peratus pesakit yang mengalami ulser gastrik mempunyai jangkitan H pylori.
FAKTA
Tanda gastrik
* Kesakitan semakin berkurangan atau bertambah apabila makan.
* Pedih pada ulu hati atau bahagian atas perut.
* Terasa loya.
* Berat badan turun.
* Terasa pedih, sakit seperti sengal atau lapar yang teruk pada perut
antara satu hingga tiga jam selepas makan atau tengah malam.
* Najis kehitaman atau berdarah (menunjukkan ulser sudah berdarah).
* Kerap sendawa.
Penyakit lain berkaitan sakit perut
Pedih ulu hati - Masalah pedih ulu hati disebabkan beberapa faktor sama ada daripada ulser gastrik (perut) atau ulser duodenum yang boleh dikategorikan kepada jenis peptik. Ulser duodenum yang boleh dikategorikan kepada jenis ulser peptik. Selain itu, refluks esofigitis atau keadaan apabila pesakit terasa asid naik ke belakang mulut (kepanasan) juga membuatkan seseorang terasa loya, payau, sesak nafas dan batuk.
Batu dalam pundi hempedu - Boleh menyebabkan seseorang pedih pada bahagian ulu hati. Punca hanya boleh diperoleh menerusi ujian ultra bunyi di perut, endoskopi, ujian darah dan pernafasan. Sakit semakin teruk apabila mengambil makanan berlemak kerana ia menyebabkan hempedu mengecut seterusnya menjadi kejang. Hampir 30 peratus menghidap batu hempedu tidak berasa sakit.
Radang pankreas - Kesakitan pada bahagian ini boleh dianggap serius kerana ia memberi makna pankreas sudah rosak berikutan keracunan. Terlalu banyak alkohol antara punca yang membuatkan bahagian ini tersumbat atau rosak.
Ulser perut - Terdapat tanda kemerah-merahan atau luka pada dinding
mukoza. Jika dibiarkan tanpa rawatan segera, luka sedia ada menjadi
bertambah teruk. Gejala ini juga boleh berlaku di bahagian usus kecil
Punca gastrik
Tekanan dan merokok antara punca GastrikTEKANAN (stress), rangsangan atau tindak balas bahan kimia daripada ubat, makanan dan jangkitan bakteria boleh menyebabkan pembengkakan di kawasan permukaan perut. Pembengkakan yang timbul akibat daripada tindak balas setempat ini menyebabkan seseorang itu mendapat gastritis atau lebih dikenali sebagai gastrik.
Menurut Pakar Perubatan dan Perunding Gastroenterelogi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Aminuddin Ahmad, perut adalah kawasan rembesan asid dan pepsin yang berfungsi untuk menghancur dan menyerap bahan-bahan makanan. "Kadangkala asid dan pepsin inilah yang merosakkan permukaan perut. Apabila permukaan perut terhakis asid akan menembusi lapisan pertahanan perut dan mengakibatkan hakisan itu membesar dan akhirnya menjadi ulser," katanya.
Bagaimanapun, katanya pembengkakan permukaan perut boleh disebabkan oleh bahan kimia yang diambil dalam makanan dan kimia yang terjadi dalam tubuh manusia sendiri seperti asid regurgitasi atau hempedu . Ubat steroid dan bukan steroid, sesetengah antibiotik dan ubat-ubat tradisional Melayu dan Cina juga boleh menyebabkan gastritis (pembengkakan perut) serta berkemungkinan terjadi gastrik.
Beliau memberitahu, masalah gastrik ini juga dikatakan mempunyai kaitan akibat jangkitan bakteria helicobacter pylori. Bakteria ini, walaupun telah lama wujud di dalam perut, namun hanya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini ia dikaitkan dengan penyakit gastrik. "Kajian menunjukkan kadar jangkitan bakteria ini mempunyai kaitan dengan peningkatan umur seseorang pesakit. "Lebih 50 peratus daripada pesakit yang berumur melebihi 50 tahun dijangkiti bakteria ini," katanya.
Jelasnya lagi, lelaki dewasa lebih kerap mendapat gastrik berbanding wanita. Antara tiga kumpulan bangsa di Malaysia yang paling tinggi diserang gastrik ialah Cina, India dan Melayu. "Manakala jangkitan bakteria helicobacter pylori agak tinggi di kalangan bangsa India, Cina dan diikuti oleh Melayu," katanya. Katanya, pesakit yang mengadu rasa sakit pada bahagian hulu hati perlu mendapat pemeriksaan lebih rapi kerana terdapat pelbagai punca masalah yang perlu dikenal pasti.
Ini kerana untuk memastikan pesakit tidak menghidap penyakit-penyakit lain seperti ulser yang boleh menembusi perut (atau kanser) terutamanya di kalangan pesakit yang melebihi umur 40 tahun. Kesakitan pada kawasan perut atau hulu hati ini boleh disebabkan oleh pembengkakan esofagus, pembesaran pembuluh darah esofagus (varisis esofagus) dispepsia atau ketidakselesaan usus kerana gangguan pergerakan (mortality) dan sebagainya. "Oleh itu, pesakit haruslah berjumpa pakar untuk memastikan jenis penyakit yang dialami serta rawatan yang sewajarnya," jelasnya. Selain berfungsi sebagai kawasan penyerapan bahan-bahan makanan, perut juga merupakan satu organ yang menjalankan proses pencernaan terhadap bahan-bahan makanan yang diambil.
Beliau memberitahu, antara golongan yang berisiko tinggi dan terdedah kepada penyakit gastrik ialah mereka yang mempunyai tabiat menghisap rokok dan meminum minuman keras. Sekiranya gastrik ini berterusan dan menjadi kronik gejala klinikal ini akan berlaku secara berulang-ulang terutamanya di kalangan mereka yang tidak menjaga waktu makan yang betul.
PUNCA GASTRIK
- Merokok
- Meminum minuman beralkohol
- Jangkitan bakteria helicobacter pylori
- Kegagalan organ tubuh seperti kegagalan buah pinggang, pernafasan, jangkitan septisemia dan pesakit tenat yang boleh mengakibatkan stress ulser.
- Tabiat pemakanan yang tidak mengikut waktu.
- Gaya hidup yang tertekan (stress)
- Bahan-bahan kimia seperti ubat Non-Steroid Anti Inflammatory Drug (NSAIDs).
Setakat ini tiada bukti jelas yang mengaitkan beberapa jenis makanan sebagai penyebab terjadinya gastrik. Namun, sesetengah makanan yang masam seperti cuka, dan beberapa jenis buah-buahan seperti nangka serta makanan pedas mungkin memburukkan lagi keadaan atau gejala gastrik yang dihidapi.Bagaimanapun, dari segi saintifik pula, tiada bukti jelas menunjukkan bahawa makanan ini mempunyai kesan secara langsung terhadap gastrik. Biasanya pesakit tidak akan diberi senarai makanan yang tidak boleh dimakan. Ini kerana, walaupun di kalangan pesakit yang menghidap penyakit yang sama tetapi makanan yang tidak boleh dimakan adalah tidak sama.
Oleh itu, pesakit harus sedar dan tahu makanan yang sepatutnya mereka hindari.
TANDA-TANDA GASTRIK
Antara tanda-tanda yang dihidapi oleh seseorang yang menghidapi gastrik ialah:
Terdapat pesakit yang mengalami gastritis atau hakisan perut tanpa gejala klinikal Sesetengah pesakit merasakan gejal-gejala kesakitan semasa lapar dan mereka terpaksa mengambil makanan yang lebih kerap untuk mengurangkan rasa sakit tersebut
Pendarahan gastrousus boleh berlaku pada pesakit yang menderita masalah yang lama, malah 25 hingga 30 peratus penyebabnya ialah kerana hakisan (gastritis erosif). Pesakit yang mengalami gastritis yang kronik atau yang lama boleh mengalami masalah kekurangan darah atau pucat.
Gastrik dan ulser
Antasid adalah kumpulan produk farmaseutikal yang digunakan untuk merawat masalah tidak hadam, perut yang tidak selesa selepas memakan makanan yang banyak, sakit atau pedih hulu hati dan penyakit ulser peptik.
Apakah sistem Gastrousus?
Sistem gastrousus dikenali juga sebagai sistem penghadaman. Ia terbahagi kepada bahagian atas dan bawah. Sistem penghadaman bahagian bawah terdiri daripada esofogus, perut, deudenum, jejunum dan ileum.
Dalam keadaan normal, esofogus menyalurkan makanan dari mulut ke dalam perut melalui proses peristalsis (pengecutan dan pengenduran otot). Di hujung bahagian bawah esofogus terdapat sfinkter yang membenarkan dan mengawal makanan masuk ke dalam perut serta menghalang kandungan dalam perut untuk masuk semula ke dalam esofagus. Proses di mana makanan dalam perut masuk semula ke dalam esofogus dikenali sebagai refluks.
Perut terdiri daripada dua bahagian: proksimal dan distal yang berfungsi untuk mengosongkan bahan yang berbentuk cecair dan pepejal. Di perut terdapat sfinkter yang mengawal pengosongan perut. Perut yang mengeluarkan beberapa jenis rembesan seperti enzim pepsin dan asid hidroklorik yang menjadikan jus dan cecair gastrik yang diperlukan untuk mencerna makanan. Rembesan cecair gastrik berlaku dalam beberapa keadaan atau fasa. Dalam fasa sefalik, rembesan perut dapat dihasilkan biarpun ketika seseorang sedang berpuasa. Dalam fasa gastrik, kehadiran makanan dalam perut akan merangsang rembesan perut. Satu lagi fasa ialah intestinal. Dalam fasa ini, rembesan boleh direncat atau dirangsang oleh beberapa jenis bahan kimia.
Faktor merangsang dan merencat rembesan perut
Terdapat beberapa bahan kimia dalam perut yang boleh merangsang penghasilan cecair atau rembesan perut. Antaranya ialah asetilkolin, hormon gastrin, histamin dan enzim protein kinase. Bahan-bahan kimia ini dihasilkan daripada rangsangan bahan seperti asid amino, peptid, alkohol dan kalsium.
Sebaliknya, tedapat beberapa bahan yang boleh merencat rembesan perut. Antaranya ialah bahan berlemak, larutan yang tinggi kepekatannya dan kandungan gula yang tinggi dalam darah. Rembesan perut boleh menghakis dan mencederakan lapisan dalam perut. Namun, lapisan gel mukus yang dihasilkan dalam perut mampu melindungi perut daripada sebarang kecederaan dan dengan cepat. Proses ini biasanya memakan masa sehingga 30 minit. Proses pertahanan dan pembaikan lapisan perut dan usus merupakan faktor utama yang menentukan kejadian ulser peptik.
Bahagian duodenum menerima dan menyimpan makanan yang telah dihadamkan. Makanan itu kemudiannya disalurkan ke bahagian distal perut. Di sini rembesan gastrik bercampur dengan makanan sebelum disalurkan ke bahagian duodenum (bahagian atas usus kecil). Kadar pengosongan perut dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti hormon, larutan yang pekat, larutan berasid, bahan berlemak dan perut yang distensi (kembung).
Perut sentiasa terdedah kepada persekitaran luar kerana pelbagai bahan dapat masuk ke dalamnya. Inflamasi atau radang yang akut (segera) atau kronik (berpanjangan) dapat berlaku kepada sistem gastrousus jika mekanisme pertahanan gagal mengawal keadaan.
Jenis gangguan sistem gastrousus
Terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus:
a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus
Refluks gastroesofagus
Aliran kandungan daripada perut atau deudenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.
Gastritis
Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebakan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.
Esofagitis
Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.
Dispepsia (bukan ulser)
Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.
Ulser akibat ubat dan bahan kimia
Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.
Ulser akibat tekanan
Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.
b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus
Gastritis kronik
Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.
Penyakit ulser peptik
Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.
Selain itu, ia ada kaitan dengan kesan menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke haspital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos daripada sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.
Ulser gastrik
Merujuk kepada ulser perut. Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.
Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.
Ulser duodenal
Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.
Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin, dan kuman bakteria Helicobactor pylori.
Rawatan
Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua in bergantung kepada tahap serta jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan redluks, pesakit boleh mengamalkan swa-pengubatan dengan berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.
Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.
Beberapa kelas ubat-ubatan boleh digunakan bergantung kepada jenis dan tahap masalah tersebut. Secara ringkas, ia terdiri daripada kumpulan antasid, kumpulan antibiotik, kumpulan antagonis (atau penghalang) reseptor H2, penghalang pam asid dan ubat-ubatan pelindung lapisan mukosa.
Dengan adanya pengetahuan tentang proses berlaku gastitis dan ulser, faktor penyebab dan rawatan yang tepat, masalah yang dihadapi oleh individu boleh dirawat.
Gastrik atau lebih tepat gastritis merupakan erosi pada lapisan dalam perut. Tandanya ialah pedih ulu hati, terasa cepat lapar, kembung, pendek nafas, pening, loya dan letih tak bermaya. Anda dinasihatkan untuk mengelakkan stress, berhenti merokok, pantang makanan pedas, masam, berempah dan minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, nescafe dan coke/minuman bergas. Jika tidak dijaga gastritis akan bertukar menjadi ulser perut iaitu luka pada lapisan dalam perut. Tandanya ialah sakit yang lebih ketara dan najis bertukar menjadi hitam berkilat (disebabkan oleh pendarahan). Ini memerlukan rawatan segera dari doktor bedah untuk dilakukan scope (OGDS) dan kemungkinan memerlukan pembedahan. Anda dinasihatkan mendapat pemeriksaan dan rawatan doktor.
Gamat boleh membantu mengurangkan sakit dan mempercepatkan penyembuhan luka dalaman dengan melitupi lapisan erosi pada dinding gaster. Bioseed juga berfungsi sedemikian dan turut menjaga kesihatan sistem penghadaman secara am. C3 Spirulina memberi nutriens membaikpulih keadaan di samping klorofil turut menggalakkan keadaan yang sesuai dari sudut kesihatan dalaman usus yang membantu mencegah gastritis/ulser.